RM92,000 peruntukan bantu tingkat kemudahan dan kebajikan penduduk Kampung Ran

Facebook
WhatsApp
JESI Bintoh yang mewakili ADUN Bukit Begunan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Bukit Begunan di Rumah Maramat, Kampung Ran Asal, semalam. Foto: ADUN Bukit Begunan

SRI AMAN: Penduduk di kawasan Ran dan Punggu diseru supaya terus mengekalkan perpaduan serta menyokong kesinambungan agenda pembangunan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Seruan itu disampaikan menerusi ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, yang dibacakan oleh wakilnya, Jesi Bintoh, pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat DUN Bukit Begunan di Rumah Maramat, Kampung Ran Asal, semalam.

Mong berkata, perpaduan dalam kalangan penduduk amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat di kawasan Ran serta Punggu terus diberi perhatian.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan keseluruhan RM92,000 peruntukan bagi menyokong keperluan komuniti setempat, khususnya dalam aspek kemudahan asas dan pembangunan luar bandar.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM8,000 melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diluluskan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Maramat, Ran Asal, manakala RM4,000 lagi disalurkan kepada Biro Wanita JKKK Rumah Maramat, Kampung Ran Asal.

Selain itu, sebanyak RM80,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) turut diluluskan bagi menaik taraf Sistem Air Bergraviti (Gravity Feed System) yang menghubungkan Rumah Sumping dan Rumah Maramat.

Peruntukan tersebut dijangka membantu meningkatkan kemudahan bekalan air serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk yang bergantung kepada sistem berkenaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Sri Aman, Konselor Ajin Buchol berkata Ahli Majlis memainkan peranan penting dalam memastikan kemudahan serta prasarana awam di rumah-rumah panjang sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pembangunan Komuniti dan Rekreasi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) turut menggalakkan ketua kampung dan pemimpin masyarakat mengemukakan permohonan kepada MDSA sekiranya terdapat keperluan projek baharu atau penambahbaikan prasarana awam di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Maramat turut menyeru rakan-rakan seperkhidmatan, khususnya tuai-tuai rumah di kawasan berkenaan, supaya terus memberikan sokongan kepada kerajaan GPS serta ADUN Bukit Begunan pada PRN akan datang.

Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas pelbagai bentuk sokongan dan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Ran.

Majlis berkenaan turut menjadi platform bagi pemimpin dan masyarakat setempat berinteraksi secara langsung, selain membincangkan keperluan pembangunan, prasarana serta kebajikan penduduk di kawasan DUN Bukit Begunan.

Hadir sama Pembantu Khas kepada ADUN Bukit Begunan, Whelton Lumpoi, Penghulu Menjang Niah; Penghulu Riji Gu; Kaunselor Beliang; Kaunselor Ajin Buchol serta Tuai Rumah Dumi Milu selaku Pengerusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Bukit Begunan.

Oleh Adi Safarman