KUCHING: Bandar Samariang di sini merupakan salah sebuah kawasan penempatan kediaman dan komersial yang pesat membangun.
Berdasarkan pelan pembangunan bagi kawasan itu, kawasan seluas 2,500 hektar akan dilengkapi dengan kawasan perumahan, industri, komersial serta kawasan rekreasi dan taman dengan anggaran jumlah penduduk 200,000 orang menjelang tahun 2050.
Bagi menampung permintaan tinggi air terawat pada masa hadapan, sistem bekalan air yang sedia ada sedang dipertingkatkan agar dapat mengatasi kekurangan bekalan air dan tekanan air yang rendah.
Kementerian Utiliti Sarawak dalam kenyataan medianya semalam memberitahu, Projek Bekalan Air Samariang (Fasa 1) Bahagian Kuching yang bernilai sekitar RM86 juta dirancang bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Samariang dan sekitarnya.
“Projek yang sedang dalam pembinaan itu dijangka siap pada suku tahun kedua 2021.
“Skop projek melibatkan pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 50 Juta Liter Sehari , pembinaan tiga buah tangki air aras tinggi dengan jumlah kapasiti 12 Juta Liter di Bandar Samariang, pemasangan saluran paip bersaiz 1,200mm sepanjang 13 kilometer dari persimpangan Jalan Matang Batu Kawa melalui jalan baru Federal Administrative Center (FAC) ke stesen pam penggalak, pemasangan saluran paip bersaiz 700 mm sepanjang 3 kilometer dari stesen pam penggalak ke tangki aras tinggi, kerja-kerja memasang saluran paip dasar sungai di Sungai Samariang dan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal yang berkaitan,” ujar kenyataan itu.
Projek itu bermula April 2019 dan bernilai hampir RM86 juta dan dijangka siap pada 2021.
“Apabila siap kelak dan mula beroperasi, ia akan menambah baik sistem bekalan air di kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air dan tekanan air rendah pada waktu puncak di sekitar Samariang, Rampangi, Kampung Buntal, Kpg. Sungai Lumut dan kawasan berdekatan,” jelasnya.
Atas komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk membekalkan bekalan air kepada penduduk di seluruh Sarawak, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berharap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dapat memastikan semua projek bekalan air yang dirancang siap pada masa yang ditetapkan agar matlamat dan visi untuk menyalurkan liputan bekalan air 100 peratus tercapai menjelang tahun 2025.
Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti, Dato Ir. Alice Jawan bersama dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak yang diketuai Pengarahnya, Ir. Chang Kuet Shian diberi tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat berkenaan dan mereka komited sepenuhnya ke arah mencapai visi itu.
Oleh Nur Ain Otsman