SIBU, 3 November: Sebanyak 131 kilometer paip usang di Bahagian Sibu telah diganti dan dinaik taraf setakat ini menerusi perbelanjaan RM53 juta bagi mengurangkan masalah kebocoran serta gangguan bekalan air di kawasan berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerja itu merupakan sebahagian daripada program penggantian 491 kilometer paip lama dan uzur di Bahagian Sibu yang diluluskan kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan RM170 juta.
“Baki 360 kilometer paip yang dikenal pasti masih dalam pelbagai peringkat perancangan dan reka bentuk untuk dilaksanakan secara berperingkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sistem Rawatan Air Segera (Acute Water Treatment System) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha menggantikan paip lama di Sibu berdepan cabaran berikutan keadaan tanah berpaya serta kedudukan sesetengah paip yang tertanam sehingga enam meter di bawah tanah, sekali gus menyukarkan kerja mengesan dan membaiki kebocoran.
Bagaimanapun, usaha menaik taraf infrastruktur berkenaan diteruskan sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan negeri memperkukuh sistem bekalan air, termasuk menerusi peruntukan RM1.1 bilion dalam tempoh lima tahun bagi menggantikan 2,740 kilometer paip usang di seluruh Sarawak.
Selain penggantian paip, peningkatan kapasiti pengeluaran air turut diberi perhatian menerusi projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim bernilai RM300 juta yang dijangka siap awal tahun depan.
Julaihi berkata, projek itu akan menggandakan kapasiti pengeluaran loji berkenaan daripada 150 juta kepada 300 juta liter sehari bagi menampung peningkatan permintaan bekalan air di Sibu, memandangkan kapasiti semasanya tidak mempunyai margin simpanan pengeluaran.
Sementara menunggu projek itu siap, Sistem Rawatan Air Segera Rantau Panjang berkapasiti lima juta liter sehari telah disiapkan sebagai langkah segera meningkatkan bekalan air ke kawasan perumahan dan industri perkapalan setempat.
“Apabila projek naik taraf Loji Salim siap, kapasiti bekalan air akan meningkat dengan ketara bagi memenuhi keperluan penduduk dan industri di Sibu,” katanya.
Terdahulu, Julaihi mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Salim bagi meninjau pelaksanaan projek naik taraf berkenaan.
Oleh Tarani Lanting





