KOTA SAMARAHAN: Projek Fasiliti Pelancongan Kampung Pinang bernilai RM500,000 kini siap sepenuhnya, sekali gus memberi nafas baharu kepada kemudahan awam serta menyokong aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
Menurut kenyataan media Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), projek berkenaan diserahkan pada kelmarin dalam satu majlis yang berlangsung di Kampung Pinang dan disempurnakan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Projek yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) itu dilaksanakan MPKS sebagai agensi pelaksana.
Skop projek melibatkan kerja menaik taraf tapak kemudahan asas serta penambahbaikan laluan akses menuju ke jeti bagi meningkatkan tahap kemudahan, keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya penduduk setempat.
Dengan siapnya projek tersebut, komuniti Kampung Pinang, terutama golongan nelayan, kini menikmati akses yang lebih baik untuk urusan keluar masuk ke jeti dan kawasan sungai.
Kemudahan berkenaan turut memberi nilai tambah kepada aktiviti menangkap ikan dan memancing, selain menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Dalam majlis sama, MPKS turut menyerahkan projek siap kepada Ketua Kaum Kampung Pinang yang disaksikan Datuk Rubiah Wang, sebelum acara diteruskan dengan sesi bergambar dan sidang media bersama pengamal media di tapak projek.
Pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen berterusan IRSDA dan MPKS dalam memperkukuh penyediaan infrastruktur serta kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Selain meningkatkan keselesaan penduduk, kemudahan tersebut dilihat berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti dan memperkukuh daya tarikan pelancongan Kampung Pinang serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir Pengerusi MPKS, Setiausaha Perbandaran, Ahli-Ahli Majlis Muara Tuang, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Kampung Pinang, wakil IRSDA, ketua-ketua bahagian serta warga kerja MPKS.
Oleh Adi Safarman




