PADAWAN: Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk memperkukuh pentadbiran dan latihan pengurusan kampung di Daerah Kecil Padawan, tahun depan.
Dana yang disalurkan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP), katanya, bertujuan memperkasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan tersebut.
Jerip turut menekankan kepentingan untuk telus dan tanggungjawab dalam pengurusan dana kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk melahirkan komuniti kampung yang cekap dalam pengurusan pentadbiran, selari dengan agenda pembangunan Premier Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengurusan dana secara berhemah oleh JKKK dan KMKK adalah penting bagi memastikan pembangunan yang mampan dan berkesan di kawasan luar bandar.
Pengumuman peruntukan ini dibuat pada majlis penutupan Taklimat Pengurusan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK) Daerah Kecil Padawan Siri 7/2024 yang berlangsung di Kampung Assum, semalam.
Majlis turut diserikan dengan perasmian kipas angin HDLS di Dewan Serbaguna Kampung Biya Assum ini melibatkan penyertaan hampir 300 ahli JKKK dan KMKK dari 18 kampung di Zon Annah Biya.
Siri taklimat yang dijalankan dalam tujuh sesi ini juga merangkumi penyertaan 62 JKKK dan 930 AJKKK di Daerah Kecil Padawan, meliputi kawasan DUN Mambong, DUN Batu Kitang, DUN Stakan, dan DUN Tupong.
Langkah ini diharapkan dapat memacu pentadbiran kampung yang lebih profesional dan memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dengan komuniti kampung di Padawan, menyokong pembangunan yang lebih terancang di daerah kecil ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Wakil Residen Bahagian Kuching Joseph Liaw, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan SAO Julius Scott Sapong, Wakil KPD IPD Padawan ASP Abg Zulkarnian serta Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap.