KABONG, 18 November: Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sebulat suara menyatakan sokongan agar penyandang kerusi berkenaan, Dato Mohd Chee Kadir, terus diberi kepercayaan untuk dicalonkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.
NGO yang menyuarakan sokongan itu terdiri daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Persatuan Pesara Kabong (PEKA), Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan Unit Saudara Kita (USK) Kabong.
Turut menyatakan sokongan ialah Persatuan Perkumpulan Perempuan Sarawak (PPWS) Zon Kabong, SABERKAS Kabong, Persatuan Warga Emas (PAWE) Kabong, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong serta Biro Wanita Rumah Panjang N.40 Kabong.
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong, Bujang Lee berkata, sokongan itu diberikan berdasarkan rekod perkhidmatan dan pembangunan yang dibawa oleh Chee Kadir sepanjang menerajui kawasan berkenaan.
“Kami melihat sendiri banyak perubahan dan kemudahan yang telah dibawa ke Kabong sepanjang kepimpinan Dato Mohd Chee Kadir. Justeru, kami berharap beliau terus diberi kepercayaan untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Kabong,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi LAKIK dan Alumni SK Abang Leman Kabong, Ulin Tabur turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Chee Kadir untuk terus menerajui kawasan berkenaan.
“Pelbagai projek pembangunan berjaya direalisasikan sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat. Kesinambungan kepimpinan amat penting supaya perancangan yang telah dimulakan dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Pengerusi PEKA, Ismail Merikan pula berpandangan pengalaman luas yang dimiliki Chee Kadir merupakan aset penting dalam memacu pembangunan DUN Kabong.
“Beliau memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi dan sentiasa berusaha membawa pembangunan yang seimbang ke seluruh kawasan Kabong, khususnya dalam menjaga kebajikan pesara di daerah ini. Atas sebab itu, kami menyokong beliau untuk terus diberi mandat,” katanya.
Bagi Penghulu Lim Kheng Huat, kesinambungan kepimpinan diperlukan bagi memastikan projek yang telah dirancang dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Pembangunan yang sedang berjalan memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dan memahami hala tuju kawasan. Kami mahu momentum ini diteruskan untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.
Wakil Biro Wanita Rumah Panjang Kawasan N.40 Kabong, Sulan Ganya pula berkata, masyarakat, khususnya golongan wanita, turut merasai manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.
“Kami berharap usaha memperkasakan komuniti wanita dan keluarga di kawasan luar bandar akan terus diberi perhatian pada masa hadapan,” katanya.
Senada dengan itu, Tuai Rumah Gadoh Lawang menyifatkan pencapaian pembangunan di bawah kepimpinan Chee Kadir sebagai bukti komitmen beliau terhadap masyarakat.
“Banyak kemudahan telah disalurkan ke kawasan rumah panjang dan kampung. Ini menunjukkan beliau sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi USK Daerah Kabong, Mohd Iskandar Abdullah berkata, sokongan yang diberikan oleh NGO terbabit bukan bersandarkan pandangan individu semata-mata, sebaliknya berdasarkan rekod pencapaian yang dapat dilihat dan dirasai masyarakat.
“Sokongan ini lahir daripada keyakinan terhadap prestasi dan rekod pembangunan yang telah dibuktikan. Kami mahu agenda pembangunan Kabong diteruskan secara konsisten,” katanya.
Menurut NGO terbabit, antara faktor utama yang mendorong sokongan itu ialah rekod pembangunan yang dicapai sepanjang dua penggal kepimpinan Mohd Chee Kadir.
Berdasarkan rekod yang dikongsikan, sebanyak 99 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan bagi tempoh 2017 hingga 2021, manakala 163 projek RTP direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2026. Peruntukan berjumlah RM30 juta pula disediakan bagi pelaksanaan projek RTP dari 2021 hingga 2025.
Selain itu, sebanyak 110 projek pembangunan dikenal pasti di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan kos keseluruhan melebihi RM206.1 juta. Daripada jumlah tersebut, 40 projek telah siap dilaksanakan, manakala 57 projek masih dalam perancangan.
Kesemua NGO berkenaan berpandangan bahawa pengalaman, rekod perkhidmatan serta kesinambungan kepimpinan merupakan antara faktor penting bagi memastikan agenda pembangunan yang sedang dirancang dan dilaksanakan dapat diteruskan.
Mereka berharap Dato Mohd Chee Kadir terus diberi peluang untuk menerajui DUN Kabong pada penggal akan datang demi memastikan pembangunan, kesejahteraan rakyat serta masa depan Kabong terus diperkukuh.
Chee Kadir, 73, mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 apabila memenangi kerusi tersebut dengan 5,069 undi dan majoriti 3,585 undi atas tiket Barisan Nasional.
Beliau kemudian berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2021 sebagai wakil GPS selepas meraih 4,789 undi dengan majoriti 2,763 undi.
Oleh Adi Safarman



