
BELAGA: Sokongan terhadap pembangunan komuniti luar bandar terus diperkuat apabila Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan mengumumkan bantuan sebanyak RM11,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Uma Daro sebagai persediaan untuk menghadapi Anugerah Desa Aspirasi Madani (ADM) 2025 Peringkat Kebangsaan.
Memetik kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pengumuman itu dibuat dalam Majlis Kesyukuran Juara ADM 2024, Zon 2 Peringkat Negeri Sarawak serta Majlis Pemberkatan Penyertaan ADM 2025 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Uma Daro, Belaga, kelmarin.
Menurut Senator Michael Mujah, bantuan ini adalah tanda sokongan terhadap usaha gigih penduduk Uma Daro dalam memperkukuh pembangunan desa mereka.
“Uma Daro telah membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai melalui perpaduan dan usaha bersama.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu mereka dalam persiapan untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan membawa nama Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Bantuan ini dijangka akan digunakan untuk pelbagai keperluan dalam persiapan ADM 2025, termasuk penambahbaikan infrastruktur kampung dan program pembangunan komuniti.
Terdahulu, Senator Michael Mujah turut menyertai rombongan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong serta ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dalam kunjungan Hari Raya ke Kampung Melayu Belaga dan Kampung Hijrah Jaya, Belaga.
Kehadiran pemimpin dalam kedua-dua acara ini bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan komitmen mereka dalam mendengar dan membantu masyarakat luar bandar.
Dengan bantuan yang diumumkan ini, diharap Uma Daro dapat terus melakar kejayaan dan menjadi contoh kejayaan desa yang berdaya maju di Sarawak.