KUCHING: Sekolah St Paul menerima peruntukan RM109,510 daripada Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii bagi menaik taraf pelbagai kemudahan sekolah serta menyediakan peralatan baharu untuk kegunaan guru dan murid.
Antara kemudahan yang akan ditambah baik ialah kantin sekolah yang dikongsi bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Catholic English, termasuk penyediaan meja dan kerusi tambahan.
Dr Kelvin berkata, kantin berkenaan telah diperluaskan pada awal tahun ini, namun kemudahan meja dan kerusi tambahan masih belum disediakan.
“Penambahan meja dan kerusi ini diharap dapat memenuhi keperluan harian guru dan murid daripada kedua-dua sekolah yang menggunakan kantin berkenaan,” katanya.
Selain itu, peruntukan berkenaan turut disalurkan bagi menambah baik kemudahan perpustakaan menerusi pembelian perabot baharu untuk mewujudkan ruang membaca dan pembelajaran yang lebih selesa.
Kemudahan lain yang akan ditambah baik termasuk pejabat pentadbiran menerusi pemasangan sekatan, bilik guru dengan penyediaan papan pintar interaktif serta penyediaan dispenser air untuk kegunaan guru dan murid.
Sekolah berkenaan turut menerima peruntukan bagi pembelian papan putih dan papan kenyataan tambahan.
Menurut Dr Kelvin, penambahbaikan itu penting dalam menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif, selesa serta memenuhi keperluan warga sekolah.
Beliau berharap kemudahan yang ditambah baik itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sekolah dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan secara berterusan.
Oleh Connie Chieng




