
SIMANGGANG: Hadiah lumayan berjumlah RM10,000 akan jadi rebutan kepada johan Pertandingan Pintu Gerbang sempena sambutan Aidilfitri, tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata pertandingan yang akan mendapat sambutan hangat itu akan diadakan sama ada peringkat Bahagian Sri Aman atau hanya terbuka kepada kampung-kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga sahaja.
“Walaupun tahun ini tidak dipertandingkan, namun pada tahun depan kita akan buat lebih hebat lagi pertandingan pintu gerbang kerana pemenangnya hanya sebuah kampung sahaja dengan tawaran hadiah kepada johan berjumlah RM10,000.
“Kita akan bermesyuarat pada tahun ini juga bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi memuktamadkan sama ada pertandingan itu adalah terbuka untuk Bahagian Sri Aman atau hanya untuk kampung-kampung di kawasan DUN Lingga sahaja serta perkara lain berkaitan dengan syarat-syarat pertandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada program Jom Berambeh Raya 2025 bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, malam tadi.
Jom Berambeh Raya 2025 ini merupakan anjuran gabungan enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu Kampung Masjid Baru, Kampung Haji Undom, Kampung Melayu Sekait, Kampung Datu, Kampung Tanah Baru Sembau dan Kampung Tanjung Engkabang.
Mengulas lanjut, Dayang Noorazah, berkata mahu semua kampung-kampung yang bakal menyertai pertandingan ini nanti agar menyahut cabaran untuk buat yang terbaik dan melakukan persediaan lebih awal pada tahun depan.
“Saya mahu kampung-kampung di DUN Lingga agar menyahut cabaran ini dan hiasilah pintu gerbang di kampung-kampung anda dengan pelbagai kreativiti tidak kira usia turut terlibat bersama-sama dalam usaha mencantikkan kampung anda sendiri.
“Inisiatif pertandingan ini diadakan dengan lebih hebat lagi tahun depan bertujuan memelihara, mengekal dan menghidupkan tradisi lama masyarakat di setiap kampung supaya ia tidak pupus dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah menjelaskan para juri dan hakim pertandingan pintu gerbang itu nanti dibawa khas daripada luar daripada kawasan DUN Lingga serta DUN Simanggang.
Pada majlis tersebut, Dayang Noorazah turut mengumumkan akan menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang yang akan dimasukkan dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Turut hadir ialah Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Temenggung Mohd Shah Achang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga Suhaidi Los dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Lingga Sapiah Drahman.
Oleh Adi Safarman