
PETRA JAYA: Festival muzik ‘Rock in the City (RiTC) 2026’ bakal membuka lembaran baharu dalam industri hiburan Sarawak apabila dijadual berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Ogos ini di Wisma Melayu, Kuching.
Pengarah Festival, Sunil Mohd Fauzan, berkata RiTC 2026 merupakan kesinambungan kepada kejayaan siri konsert ‘Rock in the Jungle’, yang sebelum ini dianjurkan selama dua edisi di Kampung Budaya Sarawak.
Menurutnya, penganjuran kali ini membawa konsep baharu dengan memindahkan lokasi konsert ke bandar raya Kuching bagi membolehkan lebih ramai peminat muzik rock menikmati pengalaman persembahan secara langsung.
“Rock in the City bukan sekadar sebuah konsert, tetapi platform untuk memperkukuh industri kreatif, merancakkan sektor pelancongan muzik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kami mahu meneruskan legasi yang dibina melalui Rock in the Jungle dan mengangkatnya ke tahap lebih tinggi dengan menjadikan Kuching sebagai destinasi penganjuran acara muzik bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, festival itu dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh Sarawak, Malaysia serta negara jiran Indonesia, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, katanya, penganjuran RiTC 2026 turut membuka peluang kepada pemuzik tempatan, kru teknikal dan penggiat industri kreatif untuk terlibat secara langsung dalam acara berskala besar.
Mengulas mengenai barisan artis yang bakal menghiburkan peminat, Sunil berkata festival itu akan menampilkan kumpulan rock legenda Indonesia, Peterpan, selain Secret Signal dari Brunei, Barbarik, Senseless, Fearless serta kumpulan tempatan Sarawak, Post Mortem Education.
Katanya, gabungan artis tempatan dan serantau itu diharap mampu mengukuhkan hubungan budaya melalui muzik, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran festival hiburan bertaraf antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif dan pelancongan berasaskan acara di negeri ini.
Sunil berkata, pihak penganjur menyasarkan untuk menjadikan Rock in the City sebagai acara tahunan ikonik Sarawak, selain menarik lebih ramai artis antarabangsa pada masa depan sekali gus mengangkat festival itu sebagai antara acara muzik rock paling berprestij di Borneo.
Turut hadir pada sidang media Datuk Snowdan Lawan, kumpulan Peterpan, Zah Amirul dan vokalis Fearless, Fatan.
Konsert dianjurkan oleh Authentic Ideas and Event Enterprise (AIEE). Untuk pembelian tiket, sila layari https://saratic.com/event/rock-in-the-city-2026.
Oleh Adele Rissa





