RiTC 2026 berpindah ke Esplanade Kuching

Facebook
WhatsApp
FESTIVAL Rock in the City (RiTC) 2026 akan berlangsung di Esplanade Kuching pada 29 dan 30 Ogos ini selepas penganjur mengumumkan pertukaran lokasi bagi memberikan pengalaman konsert yang lebih selesa kepada pengunjung.

KUCHING: Penganjur Rock in the City (RiTC) 2026 mengumumkan pertukaran lokasi penganjuran festival muzik itu ke Esplanade Kuching, bersebelahan Hotel Grand Margherita, bagi menawarkan pengalaman konsert yang lebih selesa kepada pengunjung.

Menurut kenyataan penganjur, perubahan lokasi itu dibuat bagi memastikan suasana yang lebih kondusif, selamat dan sesuai untuk menampung kehadiran peminat sepanjang festival yang berlangsung selama dua malam.

RiTC 2026 anjuran Aiee Event Management dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Tourism Malaysia akan berlangsung seperti dijadualkan pada 29 dan 30 Ogos ini, bermula 7.15 malam hingga 12.00 tengah malam.

Penganjur turut memberi jaminan bahawa semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah digunakan meskipun lokasi acara ditukar.

“Pengunjung tidak perlu menukar tiket. Mereka hanya perlu menunjukkan tiket sedia ada di pintu masuk dan petugas akan membantu melancarkan proses kemasukan,” menurut kenyataan itu.

Festival berkenaan bakal menampilkan kemunculan sulung kumpulan rock terkenal Indonesia, Peterpan, di Kuching pada 29 Ogos bersama kumpulan Post Mortem Education dari Sarawak dan Secret Signal dari Brunei.

Pada 30 Ogos, pentas RiTC 2026 akan diteruskan dengan persembahan Senseless (Sarawak), Fearless (Sarawak/Indonesia) dan Barbarik dari Kuala Lumpur.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan peminat dan yakin lokasi baharu itu mampu menawarkan pengalaman konsert yang lebih mengujakan.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket dengan mengimbas kod QR pada bahan promosi rasmi atau melalui laman sesawang Saratic https://saratic.com/event/rock-in-the-city-2026/, selain mengikuti perkembangan terkini RiTC 2026 menerusi Facebook, Instagram dan TikTok rasmi festival berkenaan.

Oleh Shikin Mahmud