KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, disokong oleh data inflasi yang stabil.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3455/3510 berbanding dolar AS daripada 4.3490/3535 pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) pada September 2024 sebanyak 1.8 peratus menunjukkan inflasi kekal stabil buat masa ini, turut menunjukkan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan dasar monetari semasanya dalam masa terdekat.
“Sementara itu, dolar AS kekal mendapat permintaan tinggi berikutan kebimbangan mengenai pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang akan datang terus mempengaruhi sentimen pasaran, menyebabkan peniaga mengambil sikap lebih berhati-hati terhadap risiko,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi penutup, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound kepada 5.6331/6402 daripada 5.6433/6491 semalam, bagaimanapun, merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8589/8627 daripada 2.8484/8516 pada Rabu dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6918/6978 daripada 4.6887/6935 sebelum ini.
Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.50/7.52 pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2928/2972 daripada 3.2932/2969 semalam.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 278.8/279.3 daripada 278.2/278.7 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9031/9259 daripada 12.8959/9149 sebelum ini.– BERNAMA