Ringgit dijangka dalam julat 4.07 hingga 4.09 berbanding dolar AS minggu depan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.07 hingga 4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan sentimen pasaran dipengaruhi oleh pengumuman data ekonomi AS dan implikasi terhadap prospek kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minggu depan akan sarat dengan pelbagai pengumuman data ekonomi penting AS, termasuk petunjuk utama dan data pasaran tenaga kerja.

Ini seperti Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM), Tawaran Jawatan Kosong dan Perolehan Tenaga Kerja (JOLTS), data senarai gaji bukan perladangan serta kadar pengangguran yang dijangka mempengaruhi sentimen pasaran.

“Pengumuman data ini penting memandangkan kenyataan terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang tidak memberi sebarang bayangan jelas mengenai hala tuju dasar pada masa depan.

“Walaupun potensi kenaikan kadar faedah pada September masih tidak berubah, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku kedua 2026 yang lemah berbanding jangkaan, menunjukkan tempoh penangguhan dasar monetari bagi tempoh lebih lama adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata sebarang kemungkinan penangguhan kadar faedah AS yang lama boleh memberi sedikit sokongan terhadap ringgit pada minggu depan.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.0835/0875 daripada 4.0885/0935 seminggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama pada minggu ini.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5520/5548 daripada 2.4976/5008, rendah berbanding euro kepada 4.6981/7027 daripada 4.6556/6613 serta turun berbanding pound Britain kepada 5.4923/4977 daripada 5.4442/4509.

Ringgit juga diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1823/1856 daripada 3.1667/1708, turun berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.61/6.62 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2264/2435 daripada 12.1414/1606, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.6/226.8 daripada 227.6/227.9 sebelum ini. – Bernama