Ribut kencang landa Marudi, rumah dan premis perniagaan terjejas

Facebook
WhatsApp
BUMBUNG TERCABUT... Beberapa bumbung premis perniagaan di Marudi tercabut akibat angin kencang dan hujan lebat. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Beberapa buah rumah dan premis perniagaan terjejas, manakala pokok tumbang dalam kejadian ribut kencang yang melanda beberapa kawasan di Marudi, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan disertai angin kencang dan guruh yang melanda kawasan berkenaan selama hampir sejam.

Antara kawasan yang terjejas ialah Pasar Marudi, Kampung Cina, Kampung Pemindahan dan beberapa kawasan lain.

KEADAAN Pejabat KEMAS Marudi yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, siling dan beberapa struktur lain selepas dilanda ribut kencang semalam. Foto Jiku Juguong

Sebahagian besar rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, termasuk bumbung tercabut dan siling bocor, selain kerosakan pada beberapa struktur lain.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati Pejabat KEMAS Marudi turut terjejas teruk apabila bahagian siling bocor, bumbung tercabut dan beberapa struktur lain mengalami kerosakan.

Dalam kejadian itu, enam buah rumah di Kampung Pemindahan turut dilaporkan terjejas teruk, termasuk mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

ATAP sebuah rumah di Kampung Pemindahan tercabut akibat ribut kencang yang melanda kawasan berkenaan. Foto Jiku Juguong

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi yang mewakili Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marudi, penghuni daripada dua buah rumah yang terjejas akibat ribut ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Pemindahan.

Sementara itu, penghuni daripada empat buah rumah lagi menumpang di Surau Nur Ihsan, Kampung Pemindahan.

Utusan Sarawak difahamkan, banyak kedai makanan di Pasar Marudi yang terjejas akibat ribut kencang semalam tidak dapat beroperasi dan ditutup sementara.

Oleh Jiku Juguong