
SPAOH: Ribuan pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang membanjiri Dewan Masyarakat Spaoh bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, hari ini.
Majlis yang dihoskan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama isteri, Doreen Mayang itu berlangsung dalam suasana meriah, harmoni dan penuh semangat kekeluargaan itu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta mempererat perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam ucapannya, Uggah berkata sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan masyarakat Dayak, malah menjadi simbol perpaduan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Beliau berkata, kekuatan Sarawak selama ini terletak pada kemampuan rakyatnya hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan bekerjasama demi kemajuan bersama.
Menurut beliau, semangat kebersamaan yang dipamerkan menerusi kehadiran ribuan pengunjung pada majlis tersebut membuktikan bahawa nilai perpaduan terus subur dalam kalangan masyarakat di kawasan Bukit Saban.

“Perpaduan yang kita nikmati hari ini adalah aset paling berharga. Ia perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang agar pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dalam suasana stabil dan harmoni,” katanya.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Bukit Saban atas sokongan, kerjasama dan komitmen berterusan dalam mengekalkan keharmonian serta semangat muafakat yang menjadi tunjang pembangunan kawasan itu.
Beliau berkata, semangat ‘Segulai Sejalai’ yang diamalkan masyarakat setempat telah menjadi pemangkin kepada pelbagai kejayaan pembangunan dan kemajuan yang dicapai di kawasan tersebut.
Menurutnya, kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang dirancang demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memelihara keamanan dan kestabilan sosial yang menjadi asas kepada kemajuan negeri.
Sepanjang majlis itu, para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah tradisional dan moden sempena sambutan Gawai Dayak, selain dihiburkan dengan persembahan pentas, sesi ramah mesra serta cabutan tiket bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan acara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau, Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris dan Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas.
Oleh Adi Safarman