TANJUNG MANIS: Benar kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat.
Dua orang nelayan dari Kampung Rajang tidak menyangka bahawa 17 ekor ikan panjang gergasi berjaya dijerat pukat mereka, pagi kelmarin.
Video dua beradik menaikkan ikan panjang gergasi ini telah tular setelah dikongsikan di aplikasi Whatapps dan laman sosial Facebook, kelmarin.
Muhammad Faizeli Madian, 40, berkata, ini merupakan julung kalinya dia dan abangnya, Julaihi Madian, 47, berjaya mendaratkan sekawan ikan panjang sebanyak itu.
“Ini merupakan kali pengalaman kali pertama saya mendaratkan ikan panjang sebanyak itu sejak 10 tahun menjadi nelayan.
“Ketika menarik pukat sekitar jam 10.30 pagi, kami terkejut melihat ikan-ikan panjang gergasi sangkut dipukat.
“Kami teruja kerana tidak menyangka mendapat ikan-ikan panjang gergasi. Syukur, ini adalah rezeki di bulan Ramadan,” katanya.
Jelasnya, mereka tidak mempunyai masalah menaikkan ikan panjang ke dalam bot kerana mereka menggunakan hidrolik.
“Hanya Tuhan sahaja tahu betapa gembiranya hati kami ketika melihat ikan ini satu persatu masuk ke dalam bot.
“Kuala Rajang memang sinonim dengan ikan panjang namun sukar diperoleh kerana ia hidup di habitat semula jadi iaitu muara sungai.
“Habitat liar ikan panjang ini menjadikannya menjadi antara spesies ikan yang cukup istimewa dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran,” ujarnya.
Tambahnya, ikan panjang bukan sahaja mempunyai isi yang enak tetapi juga limpanya yang berharga lumayan sekiranya dijual di pasaran.
Oleh EARL ANEK