PANTU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai diserang buaya ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Seterap, Pantu.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman tiba di lokasi pada 2.05 petang.
Mangsa dilaporkan masih belum ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama ditangguhkan.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibu mangsa, Puteh Bujang, seramai lapan individu termasuk mangsa menaiki empat buah perahu untuk menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Seterap.
Ketika aktiviti itu berlangsung, jala yang digunakan dipercayai tersangkut pada sebatang kayu di dasar sungai sebelum mangsa bertindak menyelam bagi melepaskannya.
Bagaimanapun, mangsa tidak timbul semula selepas menyelam, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian.
Pakcik mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada sepupu mangsa dan mereka mengesyaki remaja terbabit diserang buaya selepas kelihatan seekor reptilia berkenaan timbul tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Operasi SAR dijalankan dengan kaedah pencarian di permukaan air melibatkan anggota JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung menggunakan sebuah bot APM dan enam buah perahu milik penduduk.
Operasi itu diketuai oleh PBK II Nicholas Langi dengan kekuatan tiga anggota JBPM, sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot. PDRM pula menggerakkan tiga anggota, manakala APM melibatkan enam anggota serta dibantu 18 penduduk kampung bagi usaha mengesan mangsa.
Oleh Adi Safarman



