Remaja dikhuatiri dibaham buaya di Pantu masih hilang, operasi SAR disambung esok

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PANTU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai dibaham buaya di Sungai Seterap di sini, ditangguhkan pada 5:30 petang tadi dan akan disambung semula esok.

​Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian membabitkan mangsa pada 12.35 tengah hari sebelum pasukannya tiba di lokasi 2.05 petang.

​Menurut kenyataan itu, kronologi kejadian berdasarkan maklumat ibu mangsa, Puteh Bujang, mendedahkan bahawa mangsa bersama tujuh yang lain menaiki empat buah perahu untuk menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan.

​Walau bagaimanapun, jala yang digunakan dipercayai tersangkut pada kayu di dalam sungai, menyebabkan mangsa bertindak menyelam untuk melepaskannya. 

Malangnya, mangsa tidak lagi timbul selepas menyelam.

​Dugaan awal mendapati mangsa berkemungkinan diserang reptilia ganas itu selepas bapa saudara mangsa menyedari kehadiran seekor buaya yang timbul tidak jauh dari tempat kejadian, sebelum memaklumkannya kepada ahli keluarga lain.

​Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang diketuai Komander Operasi, PBK I Chimiam Duyu, segera melancarkan teknik pencarian di permukaan air bermula 2.30 petang dengan radius pencarian sejauh 4 kilometer ke hulu dan satu kilometer ke hilir sungai.

​Usaha pencarian di lokasi terakhir mangsa dilihat turut digerakkan secara besar-besaran dengan kerjasama rapat pelbagai agensi merangkumi tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), tiga anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), empat anggota IBERT serta dibantu penuh semangat kemasyarakatan oleh 30 penduduk kampung.

​Operasi berkenaan menggembleng logistik sebuah bot JBPM, sebuah bot APM serta 15 buah perahu milik penduduk setempat.

​Semasa kejadian, mangsa yang masih belum ditemui itu dilaporkan memakai baju berwarna putih dan seluar panjang hitam. Operasi SAR dijadualkan bermula semula pada awal pagi esok bagi mengesan keberadaan mangsa.

Oleh Adi Safarman