Remaja 13 tahun lemas mandi bersama rakan di kawasan Kuah Tiri, Miri1

Facebook
WhatsApp
LEMAS…Seorang remaja berusia 13 tahun ditemukan lemas dalam kejadian diawasan Kuah Tiri, Lorong Desa Senadin 2C-1, di Miri.

MIRI: Kegembiraan lapan remaja mandi-manda di kawasan Kuah Tiri, Lorong Desa Senadin 2C-1 di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.00 pagi itu, mangsa ditemui di dasar kolam sedalam kira-kira 40 kaki selepas dipercayai tenggelam ketika mandi bersama tujuh rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.04 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada 11.16 pagi, didapati mangsa hilang ketika mandi bersama tujuh rakannya di kawasan berkenaan.

LEMAS…Seorang remaja berusia 13 tahun ditemukan lemas dalam kejadian diawasan Kuah Tiri, Lorong Desa Senadin 2C-1, di Miri.

“Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan menggunakan teknik pencarian permukaan di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Henry, mangsa berjaya ditemui pada 12.15 tengah hari di dasar kolam sebelum dibawa naik ke permukaan oleh pasukan penyelamat.

“Pasukan bomba kemudian melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas mangsa, namun remaja itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 1.06 petang.

Terdahulu, tujuh lagi rakan mangsa dilaporkan selamat. Operasi membabitkan lapan anggota BBP Lutong dengan bantuan polis dan KKM.

Oleh Liong Chai Ling