LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya pasukannya memiliki kelebihan apabila melayan kunjungan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Ahad ini.
Katanya, dengan rehat tambahan selama sehari, ia pastinya akan memberi kelebihan buat City untuk mengutip tiga mata.
Anak buah Guardiola beraksi di laman sendiri ketika seri 0-0 dengan Inter Milan, semalam manakala Arsenal perlu menunggu sehingga awal pagi tadi untuk berkunjung ke Itali bagi aksi menentang Atalanta yang turut berkesudahan seri tanpa jaringan.
Guardiola percaya tambahan 24 jam dalam masa pemulihan mampu memainkan peranan penting dalam menentukan pertemuan sulung musim ini membabitkan kelab yang menduduki tempat pertama dan kedua dalam dua musim terakhir
Kemenangan di Stadium Etihad akan menjadi tonik terbaik kepada harapan City untuk meraih gelaran Liga Perdana kelima berturut-turut yang belum pernah berlaku, dengan Guardiola berterima kasih atas bantuan yang jarang diterima daripada penjadualan perlawanan.
“Ia adalah satu kelebihan tetapi saya akan membuat senarai dalam enam tahun terakhir tentang berapa kali kami berdepan pasukan sukar dengan tambahan satu hari rehat. Ia adalah senarai yang sangat panjang,” katanya dengan nada sinis.
Bagaimanapun, rehat tambahan sehari dimiliki City mungkin terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi apabila tonggak tengah, Kevin de Bruyne dilapor masih belum cergas sepenuhnya.
De Bruyne terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan menentang Inter.
Ditanya sama ada De Bruyne akan cergas untuk berdepan Arsenal, Guardiola berkata: “Keadaan dia lebih baik hari ini. Esok kami akan berlatih dan kita akan lihat. Dia mungkin boleh beraksi.” – AFP