KUCHING: Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024 mencipta rekod baharu dengan penyertaan 2,066 pekayuh dari 21 negara dalam 61 pasukan, termasuk pegawai teknikal tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau rasa bangga dan teruja dengan sambutan yang luar biasa pada edisi kali ini.
“Ini adalah satu rekod yang kami banggakan. Kehadiran peserta dari pelbagai negara menunjukkan bahawa Sarawak menjadi destinasi pilihan untuk acara sukan antarabangsa.
“Perlumbaan bot naga yang merupakan tradisi masyarakat Cina lebih 2,000 tahun lalu, kini telah bertransformasi menjadi sukan yang diraikan oleh pelbagai bangsa di seluruh dunia.
“Hari ini, kita bukan hanya meraikan acara ini sebagai masyarakat Cina tetapi juga sebagai satu komuniti antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada majlis makan malam dan penyampaian hadiah acara berkenaan di sini, malam tadi.
Abdul Karim berkata acara berprestij ini bukan sahaja mempromosikan Kuching sebagai pintu masuk ke Sarawak tetapi juga memperkenalkan warisan, budaya, dan keunikan kulinari negeri ini kepada dunia.
“Acara-acara ini penting untuk meningkatkan perniagaan tempatan, mengisi kapasiti hotel, serta memperbaiki imej dan keterlihatan destinasi.
“Regata Sarawak akan diadakan pada hujung minggu depan di lokasi sama di mana perlumbaan bot tradisional kenyalang tempatan akan bersaing untuk merebut gelaran ‘Raja Sungai’ atau Rajah Sungei,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Bot Naga Universiti Hong Kong menjuarai dengan hadiah RM7,000 serta piala bagi kategori Campuran Premier 20DB diikuti Kelab Pendayung Rogue Pilipinas (RM5,000), Bot Naga Kunshan China (RM4,000), dan Almaty Dragons (RM3,000).
Selain itu, bagi kategori Terbuka Premier 20DB, Jetama Entulon Family dari Sabah muncul juara dengan RM7,000 serta piala, diikuti Bot Naga Machong Dabu (RM5,000), SPTB Brunei Darussalam (RM4,000), dan Landas A (RM3,000).
Dalam kategori Terbuka Masters 12DB pula, BSACXSiam A meraih juara dengan RM5,000 dan piala, diikuti Bot Naga Machong Dabu (RM3,000), Thailand Dragon Boat Masters (RM2,000), dan Kelab Perahu Naga KDB Kuching (RM1,000).
Bagi kategori Wanita Premier 12DB, Latin Dragons menjuarai dengan RM5,000 dan piala, diikuti Bot Naga Kunshan China (RM3,000), Butuan Dragons (RM2,000), dan Pasukan Bot Naga Universiti Hong Kong (RM1,000).
Pasukan Bot Naga Universiti Hong Kong sekali lagi muncul juara dalam Kategori Terbuka Premier 12DB sekali gus meraih RM5,000 dan piala, diikuti SPTB Brunei Darussalam B (RM3,000), BSC X Siam A (RM2,000), dan Bot Naga Kunshan China A (RM1,000).
Kategori Campuran Premier 12DB pula menyaksikan Bot Naga Kunshan China B meraih RM5,000 dan piala, diikuti Kelab Pendayung Rogue Pilipinas (RM3,000), Almaty Dragons (RM2,000), dan Latin Dragons (RM1,000).