BEIJING: Hujan paling lebat dalam beberapa dekad mencetuskan banjir dan tanah runtuh di selatan China, memaksa pemindahan ratusan ribu penduduk, lapor media kerajaan.
Hujan lebat menyebabkan laluan air di dataran rendah Pearl River lembangan sejak beberapa hari kebelakangan ini, mengancam operasi pembuatan, perkapalan dan logistik pada masa rantaian bekalan sudah tertekan kerana kawalan ketat China terhadap Covid-19.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, purata hujan di Wilayah Guangdong, Fujian dan Guangxi antara awal Mei dan pertengahan Jun mencapai 621 milimeter (24 inci), tertinggi sejak 1961.
Gambar media kerajaan menunjukkan orang ramai berkerumun di atas katil kem di sekolah diubah menjadi tempat perlindungan sementara di Bandar Shaoguan di Guangdong dan ratusan khemah didirikan di atas padang sukan.
Di wilayah jiran Guangxi, air berlumpur dilihat membanjiri kawasan bandar dan penyelamat kecemasan dilihat memindahkan penduduk kampung dengan perahu getah, menurut imej media kerajaan.
Pihak Berkuasa Guangdong berkata, lebih 200,000 orang telah dipindahkan semasa bencana itu pada Isnin lalu dan kerosakan setakat ini dianggarkan 1.7 bilion yuan (AS$254 juta).
Menurut pegawai, mereka yang dipindahkan adalah antara hampir 480,000 orang yang terjejas akibat hujan dan banjir.
Shaoguan mengeluarkan ‘amaran merah’ untuk banjir yang paling teruk pada pagi Selasa lalu selepas beberapa daerah luar bandar dan bandar utama Foshan menaik taraf amaran banjir mereka dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Terdahulu, Guangxi dilanda banjir paling teruk sejak 2005, lapor media tempatan.
Pihak berkuasa meteorologi berkata pada Isnin lalu bahawa, 28 sungai di Guangxi telah melebihi paras amaran dengan hujan berterusan pada Selasa lalu.
“Wilayah Jiangxi juga mengeluarkan ‘amaran merah’ untuk banjir pada Isnin lalu dan lebih 220,000 orang telah dipindahkan sejak awal bulan ini kerana banjir di Fujian,” kata agensi berita rasmi China Xinhua pada Isnin lalu.
Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 21 orang maut selepas banjir akibat hujan lebat di Wilayah Hubei, tengah China.
Selain itu, banjir besar di Wilayah Henan di tengah China pada musim panas lalu membunuh 398 orang dan menyebabkan kerugian ekonomi lebih AS$10 bilion. -AFP