BANGKOK: Ratusan rakyat Thailand mengadakan tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi Bangkok semalam, meminta pengunduran pemerintah, tanpa menghiraukan larangan berkumpul secara besar-besaran dalam keadaan darurat untuk mengekang penularan Covid-19.
Demonstrasi yang diketuai oleh kumpulan Free Youth itu berkumpul berhampiran Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue, di Bangkok sejak petang semalam.
Penganjur membuat tiga tuntutan – pembubaran Parlimen, menghentikan gangguan terhadap pengkritik pemerintah dan menulis semula perlembagaan.
Dalam keadaan darurat, ketika ini, aktiviti berkumpul secara besar-besaran dilarang di negara berkenaan.
Kejadian protes pada malam ini, merupakan antara demonstrasi terbesar sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2014.
Ratusan pegawai polis kelihatan berkawal, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.- Bernama