KUCHING: Ratu Britain, Elizabeth II dan kerajaannya semalam menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pahlawan negara, mendiang Datuk Awang Raweng yang meninggal dunia pada usia 104 tahun, Jumaat lepas.
Kapten Kumpulan Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi Britain Simon Hindmarsh menyampaikan pesanan raja kepada keluarga itu pada upacara pengebumian mendiang Awang di Makam Pahlawan di sini semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara itu, Hindmarsh berkata, beliau mendapat tahu mengenai pemergian bekas anggota Iban tracker itu semalam dan segera memberi keutamaan untuk datang ke negeri ini, untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga mendiang.
“Ia bukan hanya saya secara peribadi tetapi juga bagi pihak Ratu Elizabeth II, raja serta kerajaan Britain kepada askar yang hebat ini,” katanya.
Hindmarsh berkata Awang telah bertemu Ratu Elizabeth II beberapa kali kerana beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross yang dinamakan sempena Raja George VI dari England, yang dianugerahkan kepadanya pada November 1951.
“Pingat George Cross adalah penghormatan kedua tertinggi yang dianugerahkan kepada anggota tentera dan orang awam yang memaparkan watak luar biasa seperti yang ditunjukkan oleh Awang pada 1951, yang berkhidmat dengan tentera British untuk memerangi kebangkitan komunis di semenanjung Tanah Melayu ketika itu,” katanya.
Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria Yadi berkata mendiang Awang diberi upacara pengebumian tentera sepenuhnya.
“Saya bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Sarjan Awang dan mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanannya kepada negara,” katanya. – Bernama