PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan 15 individu, termasuk lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang pemberi maklumat berhubung video dakwaan skandal rasuah melibatkan ADUN di negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sesi merakam percakapan semua individu berkenaan telah selesai pada Sabtu lepas.
Namun, Azam memaklumkan sehingga hari ini pemberi maklumat tersebut enggan menyerahkan apa-apa bukti yang dimilikinya kerana masih menuntut perlindungan imuniti daripada dikenakan sebarang dakwaan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga telah menerima laporan terhadap pemberi maklumat itu yang didakwa bersekongkol dengan seorang pegawai dari Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu penerokaan mineral.
“Oleh itu, ketika ini kami sedang menyiasat dua kes secara adil dan profesional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM mengesahkan bahawa seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video yang memaparkan beberapa ADUN membincangkan isu rasuah telah berjumpa dengan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Okt lalu.
Ketika pertemuan tersebut, peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan perbincangan beberapa individu mengenai sejumlah wang.
Azam menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi membolehkan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dimulakan.– BERNAMA