KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ras Adiba Radzi diumumkan sebagai antara penerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa (IWOC) bagi 2023 yang dijadualkan berlangsung di Rumah Putih, esok.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) hari ini, Setiausaha Negara Anthony J.Blinken dan Wanita Pertama AS Jill Biden akan menjadi hos acara tahunan itu.
“Majlis Anugerah IWOC akan memberi penghormatan kepada sekumpulan 11 wanita luar biasa dari seluruh dunia yang berusaha membina masa depan lebih cerah untuk semua,” katanya.
Kenyataan itu menyebut Ras Adiba telah menghabiskan kebanyakan masa profesionalnya untuk memajukan serta mempromosi hak asasi manusia tanpa mementingkan diri sendiri dengan membantu populasi rentan dan menggunakan pelbagai platform untuk mengetengahkan ketidakadilan dalam masyarakat di Malaysia.
Pada Mei 2020, beliau dilantik sebagai senator bagi mewakili golongan kurang upaya.
Pada November 2020, Ras Adiba menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan momen bersejarah kerana Malaysia kekurangan pemimpin kaum hawa lebih-lebih lagi daripada golongan kurang upaya.
Ras Adiba juga pernah mewakili negara dalam acara menembak pada temasya sukan paralimpik dan mengabadikan namanya dalam Buku Rekod Malaysia kerana melakukan perjalanan sejauh 420 kilometer dengan berkerusi roda selama 13 hari dari Johor Bharu ke Putrajaya.
Penerima lain anugerah berprestij itu termasuk Dr Zakira Hekmat dari Afghanistan, Alba Rueda dari Argentina dan Donis Rios dari Costa Rica. – Bernama