Kuching tarik komitmen pelaburan kesihatan swasta RM1.45 bilion

Facebook
WhatsApp
DATUK Sebastian Ting Chiew Yew menyampaikan teks ucapan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 12 Oktober: Komitmen pelaburan swasta sekitar RM1.45 bilion bagi pembangunan hospital baharu di Kuching membuka ruang kepada pengembangan kapasiti dan kepakaran perkhidmatan kesihatan, sekali gus menyokong usaha Sarawak memperkukuh sektor pelancongan perubatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan kemudahan kesihatan perlu bergerak seiring dengan penyediaan infrastruktur sokongan bagi memenuhi keperluan pesakit dari dalam dan luar negara.

Menurut beliau, Kuching ketika ini mempunyai lima hospital swasta, manakala tiga lagi hospital swasta sedang dibangunkan untuk memasuki pasaran.

PARA delegasi menghadiri Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

“Secara keseluruhan, pembangunan baharu ini mewakili kira-kira RM1.45 bilion dalam komitmen pelaburan penjagaan kesihatan swasta di Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada majlis perasmian Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Antara pembangunan terbaharu ialah Regency Specialist Hospital Kuching oleh HMI Medical, sebuah hospital pakar tertiari berkapasiti 300 katil yang melibatkan pelaburan Fasa Satu melebihi RM400 juta dan dijangka mula beroperasi pada 2029.

Abdul Karim berkata, pembangunan hospital bukan sekadar meningkatkan kapasiti katil, malah turut membuka peluang untuk memperluas bidang kepakaran, menggunakan teknologi perubatan canggih dan membangunkan pusat kecemerlangan bagi memenuhi keperluan rawatan yang semakin pelbagai.

“Ini bukan sekadar menambah jumlah katil. Ia juga mengenai peningkatan keupayaan kepakaran, pengenalan teknologi canggih, pembangunan pusat kecemerlangan serta pewujudan persekitaran yang mampu memenuhi keperluan pesakit dari Sarawak, Malaysia dan rantau lebih luas,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan mencerminkan potensi pasaran penjagaan kesihatan Sarawak dan boleh membantu memperluas pilihan perkhidmatan perubatan kepada pesakit dari pasaran serantau.

Bagaimanapun, jelasnya, pembangunan pelancongan kesihatan turut memerlukan kemudahan penginapan yang mencukupi kerana pesakit lazimnya ditemani ahli keluarga dan mungkin perlu berada di Sarawak selama beberapa hari atau minggu untuk menjalani rawatan serta pemulihan.

Menurutnya, Kuching kini mempunyai kira-kira 13,000 bilik hotel, termasuk 321 bilik menerusi pembukaan voco Kuching tahun ini serta tambahan kira-kira 238 bilik daripada The Everly Lhesson Kuching.

“Jika kita mahu menarik lebih ramai pesakit antarabangsa, kita juga mesti memastikan kemudahan penginapan dan hospitaliti mencukupi untuk menyokong mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, perbelanjaan pesakit dan ahli keluarga turut membuka peluang ekonomi kepada sektor lain, termasuk penginapan, makanan, pengangkutan dan tarikan pelancongan.

Menurut beliau, pesakit yang berkunjung ke Sarawak bukan sahaja mendapatkan rawatan, malah berpeluang menggunakan perkhidmatan tempatan serta menikmati budaya, makanan dan tarikan semula jadi negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesalinghubungan udara menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian untuk memperluas akses pesakit antarabangsa ke Sarawak.

Penubuhan dan pengembangan AirBorneo, katanya, menyediakan peluang untuk memperkukuh hubungan negeri ini dengan pasaran serantau, termasuk Indonesia, Brunei, Sabah, Filipina dan negara ASEAN lain.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan pelancongan kesihatan memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan, hospital, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, pemain teknologi, universiti, pelabur dan penggiat pelancongan, bagi memastikan keperluan pesakit dapat dipenuhi secara menyeluruh.

Oleh Adele Rissa