LIBREVILLE: Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba semalam melantik Rose Christiane Ossouka Raponda sebagai Perdana Menteri wanita pertama di negara itu.
Raponda yang berusia 56 tahun dan mengambil alih jawatan tersebut daripada Julien Nkoghe Bekale yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada Januari 2019.
Sebelum ini wanita itu memegang jawatan sebagai menteri pertahanan.
Dalam satu kenyataan, pejabat presiden menyatakan misi Raponda termasuk memastikan ekonomi Gabon dilancarkan semula dan menyediakan sokongan sosial yang perlu di tengah-tengah krisis berkaitan koronavirus (Covid-19).
Terlalu bergantung dengan hasil minyak, negara Afrika Tengah itu menerima kesan teruk disebabkan kelembapan harga komoditi tersebut termasuk wabak Covid-19 terhadap perdagangannya.
Raponda ialah seorang graduan ekonomi daripada Institut Ekonomi dan Kewangan Gabon dengan pengkhususan dalam bidang kewangan awam.
Beliau menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2012 dan Datuk Bandar wanita pertama ibu negara Libreville pada tahun 2014 serta calon Parti Demokratik Gabon pimpinan Bongo.
Pelantikannya dibuat ketika pembangkang dan pemimpin masyarakat awam mempersoalkan secara terbuka kecergasan Bongo bagi mentadbir selepas beliau diserang strok pada Oktober 2018.
Bongo menghabiskan banyak masa menerima rawatan di luar negara dan ketika pemerintahannya, Gabon pernah digegarkan dengan satu percubaan rampasan kuasa pada Januari 2019. – AFP