Ranisha berjuang demi impian, pengorbanan keluarga

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SHAH ALAM: Walaupun beberapa kali gagal dalam pelbagai program pencarian bakat, hal itu sedikit pun tidak mematahkan semangat penyanyi muda, Ranisha Faizul untuk terus membina tapak dalam industri muzik tanah air.

Ranisha, 26, yang pernah beraksi dalam pertandingan Idola Kecil, Idola Kecil Ultra, Mentor 7, All Together Now dan Bintang Asli Remaja Kebangsaan, mengakui minat mendalam menjadi pendorong utama untuk beliau terus melangkah.

Anak kelahiran Labuan yang kini bersaing dalam program realiti Big Stage Rocketfuel 2026 itu juga berkata sumber kekuatan terbesarnya hadir daripada pengorbanan serta sokongan padu keluarga, khususnya ibunda tercinta yang merupakan penyokong utamanya.

PERJUANGAN DEMI IMPIAN… Ranisha Faizul terus mengejar cita-cita sebagai penyanyi dengan semangat serta sokongan padu keluarganya, khususnya ibunya. Kini, beliau merupakan peserta wanita tunggal yang masih bertahan dalam Big Stage Rocketfuel 2026. Foto Bernama

Ranisha, atau nama sebenarnya Farranisha Shazwany Mohammad Faizul, berkata ibunya pernah meminjam wang daripada rakan semata-mata untuk menampung kos perjalanannya bagi menghadiri uji bakat nyanyian di ibu negara.

“Uji bakat itu hanya diadakan di Kuala Lumpur, kami tinggal di Labuan, semestinya kosnya agak tinggi. Mak memang sanggup buat apa sahaja demi memberi peluang kepada saya mengejar impian bergelar penyanyi. Momen itu saya ingat sampai sekarang,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang mula menyimpan impian bergelar penyanyi seawal usia enam tahun, tidak menafikan pernah mengalami tekanan emosi, khususnya tatkala pandemik COVID-19 melanda negara susulan ketiadaan undangan persembahan.

“Masa itu saya benar-benar hilang semangat dan terfikir sama ada mampu bertahan dalam industri ini. Saya pasrah dan merasakan jika tidak menjadi penyanyi, cukuplah sekadar menjadi guru vokal.

“Tetapi, pesanan ringkas yang saya anggap sebagai azimat daripada ibu iaitu ‘Mama tahu baby boleh buat’ menjadi pemangkin utama untuk saya kembali bangkit meneruskan perjuangan,” katanya.

Sebagai peserta wanita tunggal yang masih bertahan dalam saingan Big Stage Rocketfuel 2026, Ranisha berazam memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu keluarga di kampung halaman.

Beliau turut berharap penyertaannya dalam program itu dapat membuka mata pelbagai pihak mengenai bakat yang ingin diketengahkannya.

Ranisha berjaya mengungguli konsert minggu keempat Big Stage Rocketfuel 2026 dengan memperoleh markah tertinggi sebanyak 74.67 peratus menerusi lagu Nak Dara Rindu nyanyian asal Dayang Nurfaizah. – Bernama