KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) mengambil inisiatif untuk merancakkan lagi warisan seni budaya Sarawak dengan sentiasa menyokong dan mengalu-alukan aktiviti yang dianjurkan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching (MACPA) dalam menyatupadukan semua Penggiat Warisan Seni Budaya Sarawak telah membolehkan kemahiran dan bakat mereka dipersembahkan dan diiktirafkan di peringkat Malaysia malah seluruh dunia.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sarawak Music and Fashion Galore (SAMFAG) 2020 di Sarawak Chamber, Riverside Majestic, Kuching, semalam.
“Penyemarakkan warisan seni dan budaya harus dilihat bukan sahaja sebagai warisan turun-temurun masyarakat Sarawak, namun ianya adalah satu usaha untuk menyatupadukan seluruh kumpulan etnik di Sarawak di dalam tema ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’, ujarnya.
Tambahnya, selain dapat mengekalkan warisan seni budaya kepelbagaian etnik di bumi Sarawak, Keunikan Warisan Seni Budaya Sarawak juga telah menjadi sumber pendapatan masyarakat.
“Untuk mengekalkan keberadaan Warisan Seni Budaya dalam masyarakat, pemuliharaan yang sistematik perlu dilaksanakan agar kualiti Warisan Seni Budaya dapat dicapai,” jelas beliau lagi.
“Inventori termasuk dokumentasi secara saintifik arkib, audio dan visual harus dilaksanakan kepada kumpulan etnik dan masyarakat bagi tujuan tersebut”, jelasnya.
Menurut beliau lagi, untuk mengkaji pelaksanaan bengkel bagi tujuan mendidik masyarkat kearah dokumentasi dan inventori elemen warisan mengikut kerangka UNESCO, kerjasama antara MACPA dan MTAC telah dibuat.
Tambahnya, penubuhan badan baru iaitu ICH seketariat di Kuching yang bertujuan untuk mengusul dan mempromosikan pelbagai aktiviti dan Warisan Seni Budaya ke peringkat global juga akan dikaji dan dipertimbangkan oleh MTAC dengan Kerjasama MACPA.
“Segala program yang dirancang oleh MACPA dengan mana-mana pihak akan membuka mata masyarakat dunia terhadap keunikan Sarawak malah dapat membantu melonjakkan industri pelancongan Sarawak.
“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha semua pihak dalam menjayakan majlis SAMFAG 2020 ini dan mendoakan agar mereka berjaya serta terus berjuang dalam sektor ini,” kata beliau.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH