KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Seorang warga Filipina dipercayai dalang sindiket penyeludupan dadah telah membuat tempahan jet persendirian yang dikaitkan dengan rampasan 521 kilogram (kg) methamphetamine di Laos pada 23 Sept lepas, kira-kira seminggu sebelum kejadian itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata individu berkenaan menempah perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan persendirian yang dikenal pasti dimiliki empat individu, iaitu dua juruterbang warga Malaysia dan dua warga Singapura, dengan bayaran ASD49,500.
Beliau berkata tempahan itu adalah bagi penerbangan dari Laos ke Manila, Filipina dengan barangan yang diisytiharkan sebagai produk vape.
“Maklumat pengisytiharan barangan yang dibawa dalam penerbangan itu diperoleh berdasarkan manifes yang kita dapatkan di Subang serta maklumat daripada pihak berkuasa Laos.
“Jadi, kita masih lagi menyiasat sama ada pemilik syarikat ini terbabit dalam sindiket berkenaan atau mereka turut digunakan oleh sindiket,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Hussein berkata pihaknya juga sedang mendapatkan butiran lanjut mengenai warga Filipina yang dipercayai membuat tempahan berkenaan dan maklumat itu telah dikongsi dengan Philippine Drug Enforcement Agency (PDEA) bagi membantu mengesannya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, individu terbabit dipercayai kali pertama menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan selepas mendapati syarikat itu menawarkan harga paling rendah bagi laluan penerbangan tersebut.
Syarikat terbabit katanya, mempunyai dua syarikat yang berdaftar di Kemboja, selain beroperasi di Malaysia dengan dua jet ditempatkan di Subang.
Hussein berkata syarikat penerbangan itu mendapat kelulusan untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan pada Julai 2026 dan setakat ini telah menerima sembilan tempahan penerbangan, dengan penerbangan ke Laos itu merupakan tempahan kelapan.
“Pemilik syarikat itu adalah juruterbang yang telah lama berkhidmat dalam pelbagai syarikat penerbangan dan kini mereka menubuhkan satu syarikat penerbangan untuk menawarkan perkhidmatan komersial secara persendirian,” katanya.
Mengulas penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik syarikat penerbangan persendirian berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, bersama tiga individu lain pada Rabu lepas, beliau berkata kesemua mereka telah dibebaskan selepas keterangan direkodkan.
Beliau berkata PDRM masih menunggu persetujuan serta pelepasan pihak berkuasa Laos bagi membolehkan pegawai dihantar ke negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada rakyat Malaysia yang ditahan.
Media melaporkan pada 1 Oktober lepas bahawa polis Laos merampas 521 kg crystal methamphetamine dalam 500 bungkusan daripada sebuah jet persendirian jenis Learjet yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang dari Subang.
Jet berkenaan berlepas dari Subang menuju Luang Prabang tanpa membawa sebarang muatan dadah sebelum 521 kg methamphetamine dimuatkan ke dalam pesawat selepas tiba di Laos, dipercayai untuk dihantar ke Manila, Filipina.
Susulan rampasan itu, 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, penumpang warga Filipina serta kakitangan lapangan terbang dan syarikat perkhidmatan darat ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan.- Bernama




