ENGKILILI: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili perlu menjadi milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 akan datang kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, kerusi DUN berkenaan perlu dirampas kembali apabila Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu parti penaung penyandang kerusinya, Dr. Johnnical Rayong Ngipa bertindak membawa haluan sendiri di luar GPS pada Ogos tahun lepas.
“Kerusi DUN Engkilili perlu menjadi milik GPS. Ia penting agar proses pembangunan di Engkilili dapat diteruskan semula semenjak kawasan ini menjadi milik pembangkang pada tahun lepas.
“Atas sebab itu saya memohon kepada ahli komponen GPS di DUN Engkilili untuk lebih bekerja keras demi memastikan kerusi ini kembali menjadi milik kita demi masa depan pembangunan hidup rakyat di situ,” kata beliau.
Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Info On Wheel (IOW): Perhimpunan Sivik anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman bertempat di Rumah Entebang Melayang, Nanga Belaie, Ulu Skrang di sini.
Selain itu, beliau yang juga ADUN Simanggang pada program berkenaan juga menaruh harapan yang tinggi terhadap para ketua kaum di sini agar dapat membantu GPS untuk merampas kembali kerusi DUN Engkilili itu dari PSB.
“Para tuai rumah dan ketua kampung melalui program sebelumnya telah menyatakan sokongan padu masing-masing untuk terus kekal menyokong padu GPS pada PRN-12 nanti.
“Justeru, saya berharap agar sokongan yang telah dinyatakan oleh para Ketua Kaum berkenaan akan membuahkan hasil dalam usaha GPS bagi merampas kembali kerusi DUN ini daripada pihak pembangkang kelak,” kata beliau.
Harden juga turut menambah bahawa para ketua kaum di sini sudah matang dalam politik dan mengetahui bahawa hanya Kerajaan Sarawak pimpinan GPS sahaja yang boleh membangunkan penempatan mereka dengan peruntukan lebih besar dari masa ke semasa.
Beliau pada program itu mengumum peruntukan sebanyak RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nanga Belaie dengan RM3,000 lagi diumum untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.
Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu/Engkilili, Tommy Laman, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Jesseca Gilbert Bunsu, Timbalan Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Andar Suntai, dan Pengerusi Pemuda Parti Rakyat Sarawak Cawangan Engkilili, Kaunselor Roy Angau Dato Gingkoi.
Oleh Valentine Ngumbung