KUCHING: Kebanyakan orang bersetuju dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir pada 31 Ogos ini sehingga keadaan terkawal.
Seorang pekerja swasta, Semilan Unang, 56, berkata sebagai warganegara yang bertanggungjawab, masyarakat harus menyokong langkah kerajaan untuk melanjutkan PKPP sehingga keadaan terkawal.
“Wabak pandemik Covid-19 belum berakhir lagi dan masih ada kluster sama ada yang dari luar negara atau dalam negeri.
“Kita tidak mahu apabila PKPP ditamatkan, rakyat terlalu bebas dan lalai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes pandemik itu,” katanya.
Beliau memberitahu sudah biasa dengan norma baharu dan patuh kepada SOP untuk keselamatan keluarga dan negara.
“Saya berharap vaksin Covid-19 dapat ditemui secepat mungkin dan patuh kepada arahan kerajaan untuk kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu, Alex Lo, 44, berkata bersetuju PKPP dilanjutkan sehingga keadaan terkawal untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, dengan pelanjutan PKPP, rakyat akan lebih berdisiplin dan patuh kepada SOP Kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berusaha sedaya upaya membendung penularan Covid-19.
“Kita tidak mahu apa yang berlaku di negara lain berlaku di negara kita seperti penularan gelombang kedua.
“Buat masa sekarang, kita harus membiasakan diri dalam norma baharu dan kekal sahaja sehingga keadaan terkawal dan vaksin ditemui,” katanya.
Oleh Cheryl Law