
BINTANGOR: Kemeriahan Ramadan terus disemarakkan di Daerah Meradong menerusi Program Jerayawara Bubur Asyura yang menyaksikan sebanyak 482 bungkus bubur lambuk dan 241 bungkus kurma diagihkan kepada kakitangan agensi-agensi kerajaan yang beragama Islam, petang semalam.
Program anjuran bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintangor dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meradong itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, program seumpama ini bukan sekadar berkongsi juadah berbuka puasa, malah menjadi saluran mempererat hubungan antara penjawat awam.
“Program ini mencerminkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, khususnya penjawat awam yang bersama-sama menyambut bulan penuh keberkatan ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada oemerima di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong.
Koung Hiing turut menyatakan komitmennya untuk melihat program berkenaan diteruskan sebagai acara tahunan di Meradong.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak 30 bakul makanan kepada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari kategori orang kurang upaya (OKU) di sekitar Bintangor.
Antaranya termasuklah dari Kampung Muhibah Bintangor, Kampung Darul Falah Gemuan, Kampung Abang Amin, Sungai Selemas, Abang Ali, Jalan Bidadari, Skim B Meradong, Tanjung Bundong, Muara Bunut dan Kampung 1Malaysia.
“Bantuan ini adalah sebahagian usaha kami meringankan beban keluarga penerima bantuan JKM, terutamanya dalam bulan Ramadan yang menuntut lebih keprihatinan terhadap golongan memerlukan,” katanya.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Meradong AO Ting Kai Siang, Timbalan Ketua Cawangan PBB Meradong Kaunselor Samsawi Mohamad, Setiausaha SUPP Bintangor Lau Sie Hing, Ketua Pergerakan Wanita PBB Meradong Dayang Rajemah Abang Adeng, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Bintangor Kaunselor Chieng Ming Kiong, Pemanca Rapen Angga, Pemanca Yii Hee Sieng, dan Penghulu Hashim Abang Solhi.
Oleh Earl Anek