RAKYAT Sarawak diingatkan untuk kekal memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi meneruskan pembangunan di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman (gambar).
Beliau berkata, rakyat harus beri sokongan kepada pemimpin dan kerajaan kini kerana telah terbukti dengan keputusan dan sejarah pimpinan mereka, rakyat kekal hidup bersatu padu dan menuju kepada kejayaan dan pembangunan.
“Dengan bukti kebaikan ini, tidak mungkin kita akan membuat keputusan menentang mereka,” kata beliau pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Di Taman Fitrah, kelmarin.
Beliau menambah rakyat juga perlu faham apabila kerajaan melakukan pembangunan, ia memerlukan beberapa langkah ke hadapan.
“Sebab itulah, kadang-kadang kita perlu tahu apabila kerajaan lakukan keputusan atau tindakan, pada masa itu mungkin sukar untuk kita faham, namun pada masa akan datang, keputusan atau tindakan itu akan relevan dengan keadaan semasa.
“Contohnya, pembangunan negeri yang berfokuskan digital ekonomi oleh Ketua Menteri kita yang telah diumum beberapa tahun lepas dan kini amat dipraktikan dan diperlukan kerana pandemik covid.
“Platform digital ekonomi telah diletakkan asasnya oleh Ketua Menteri dan kita hanya menggunakannua sekarang dalam menjalankan kehidupan kita,” ujar beliau.
Fazzrudin turut berkata, segala proses pembangunan ataupun penyelesaian permasalahan rakyat tidak akan berlaku semalaman sahaja.
“Ia memerlukan kerjasama penduduk, pemimpin dan juga agensi kerajaan bagi menyelesaikam sesuatu masalah dan jalinan ini perlu dikekalkan,” kata beliau.
Oleh Alexandra Lorna