BARCELONA mencatat kemenangan sukar 1-0 ke atas Athletic Bilbao awal pagi semalam dan merampas kembali teraju La Liga.
Bagaimanapun ia mungkin bertukar selepas 24 jam dengan hanya tiga mata mengatasi Real Madrid.
Jaringan tunggal pemain gantian Ivan Rakitic pada minit ke-71 menyelamatkan mereka daripada satu lagi keputusan seri selepas diikat Sevilla pada Jumaat lalu.
Madrid akan kembali merampas kedudukan pendahulu jika menewaskan Real Mallorca awal pagi esok tetapi kemenangan Barcelona sekurang-kurangnya meletakkan tekanan ke atas skuad Zinedine Zidane.
Persembahan Barca tampak tidak bermaya apabila gagal mencipta peluang terbuka tidak seperti yang diharapkan pengendali Quique Setien.
“Kami tahu ia akan sukar,” kata Setien. “Kadang-kadang kami tak beraksi dengan ketenangan dan itu yang terjadi pada babak pertama apabila banyak membuat kesilapan berbanding biasa. Kami memberikan keyakinan kepada pasukan lawan.”
Lionel Messi tampak kepenatan dan Barca terlalu bergantung kepada bintang Argentina itu yang mahu mencari gol ke-700 dalam kariernya.
Rakitic pula antara pemain yang dijangka meninggalkan Camp Nou pada musim panas. Dia kerap memanaskan bangku simpanan musim ini dan jaringan itu yang pertamanya sejak aksi Clasico pada Mac tahun lalu.
Sergio Busquets dilayangkan kad kuning dan bakal terlepas perlawanan menentang Celta Vigo Sabtu. Athletic Bilbao pula kekal di tangga ke-10 selepas mengalami kekalahan pertama sejak La Liga kembali bersambung.
Dalam perlawanan awal, Atletico Madrid menang 1-0 di Levante untuk melonjak ke tangga ketiga hasil jaringan sendiri Bruno Gonzalez pada awal permainan.