KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada pihak Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada umum.
Tunku Azizah bertitah keringkam berusia 35 tahun yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinan itu mempunyai nilai seni yang tinggi serta perlu dihargai generasi baharu supaya ia tidak dilupakan bagi memartabatkan keindahan seni tenunan kain.
“Ia (keringkam Sarawak) adalah sebahagian daripada mas kahwin saya yang diberikan oleh suami saya (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), dan saya ingin menyampaikannya semula kepada kerajaan Sarawak supaya dapat dipamerkan di muzium,” titah Baginda.
Raja Permaisuri bertitah demikian pada majlis pelancaran Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Baginda juga berharap dapat mengadakan perjumpaan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan tukang diraja bagi mengumpulkan tukang-tukang supaya kepentingan mewariskan ilmu pelbagai seni dan kraf tangan supaya tidak hilang ditelan zaman.
Tunku Azizah juga memuji Sarawak sebagai negeri pertama yang menganjurkan simposium mengenai pelbagai seni dan kraftangan di negara ini.
“Saya menyeru negeri-negeri lain di Malaysia untuk mencontohi Sarawak dalam menganjurkan simposium ini daripada terus menunggu Simposium Tekstil Tradisional Asean yang diadakan di Laos pada 2024.
“Ia (simposium) adalah untuk menjalinkan persahabatan supaya kita boleh terus terikat untuk berkongsi idea dan belajar antara satu sama lain untuk meninggalkannya sebagai warisan generasi masa depan kita,” titah Baginda.
Mengenai simposium itu, Baginda berkata industri tekstil secara global, adalah bermakna terdapat peningkatan dalam permintaan untuknya.
“Kita harus mengambil peluang ini untuk memastikan pertumbuhan mampan tekstil kita untuk masyarakat bukan sahaja menjadi ‘penjaga’ tetapi keperluan untuk menggunakan kemahiran ini untuk kebaikan individu dalam masyarakat,” titahnya.
Simposium itu, dengan tema ‘Menghubungkan Tekstil kepada Komuniti untuk Pertumbuhan Mampan’, diadakan mulai semalam hingga esok di sebuah hotel di sini.
Ia bertujuan untuk meningkatkan dan memacu pemeliharaan dan pemuliharaan tekstil Sarawak.
Turut hadir, isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Oleh NUR AIN OTSMAN