JIKA pemain dilihat terhad dengan latihan secara sendirian di rumah sepanjang melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, individu penting di tengah padang yang juga pengendali perlawanan iaitu pengadil tidak terkecuali berbuat demikian dalam usaha mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.
Timbalan Pengerusi Pengadil Bola Sepak Negeri Sarawak, Marshid Dahalan memberitahu, para pengadil turut diarah menjalani latihan secara sendirian di rumah.
Menurut Marshid, ia penting untuk memastikan kecergasan mereka berada pada tahap maksima.
“Tidak terkecuali para pengadil turut diarah menjalani latihan di rumah walaupun ia agak terbatas pergerakan mereka,” ujar beliau ketika mengulas perkara itu.
Tegasnya, selain sesi latihan mereka juga turut diberi ujian yang disediakan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya lagi, ujian berkenaan dijalankan menerusi rakaman video yang disediakan dan ia dilaksanakan dua kali dalam tempoh sebulan.
“Semua laporan sesi latihan dan hasil ujian dilakukan dihantar kepada pihak FAM untuk proses penilaian semasa mereka,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Marshid turut berharap agar situasi yang melanda negara serta dunia akan kembali pulih seperti biasa sekali gus dapat membolehkan mereka menjalani rutin seperti biasa.
Oleh Faizal Bujang