PADAWAN: Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Pertanian Sarawak sedang merangka satu kertas kerja untuk membina sebuah Pusat Pengumpulan Kopi berdekatan Kelab Golf Padawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, pembinaan pusat ini adalah bagi memudahkan penduduk di kawasan Mambong menghantar hasil tuaian kopi untuk dipasarkan.
“Kawasan Mambong ini mempunyai banyak tanah pertanian yang masih belum dibangunkan lagi.
“Oleh itu, Jabatan Pertanian Sarawak telah mengenalpasti kopi sebagai tanaman fokus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait, Skim Penempatan Semula Bengoh, Padawan, semalam.
Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan Sarawak memberitahu, beliau merancang untuk membangunkan tanaman kopi secara berkelompok, dianggarkan lebih 3, 000 hektar tanah di kawasan Mambong yang sesuai untuk tanaman kopi.
“Tiap-tiap keluarga yang tinggal di kawasan ini amat disarankan untuk menanam kopi oleh kerana kopi mempunyai potensi untuk dijual sekali gus dapat mengubah kehidupan keluarga,” ujarnya.
Jelasnya, selain kopi penduduk juga boleh menanam nanas dan halia.
“Demi mencapai visi Sarawak untuk menjadi ‘Netfood Exporter’ menjelang 2030, kita perlu berganding bahu bersama-sama memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif seperti ini,” katanya.
Mengulas mengenai program semalam, pihak Jabatan Pertanian Sarawak telah menjemput seramai 200 petani dari Komuniti Biya dari pelbagai kampung untuk menyertai kursus AgriCOP.
Oleh Nur Ain Otsman