KUCHING: Insiden perebutan barangan kitar semula atau guna semula dalam kalangan pemungut yang semakin ‘mengganas’ sekali gus mewujudkan persekitaran tidak selamat kepada orang awam yang hanya ingin melakukan kebaikan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, pihak berkuasa seolah-olah lepas tangan dalam pengendalian pusat kitar semula yang terletak di BDC di sini sehingga mengakibatkan tempat berkenaan tidak selamat untuk dikunjungi orang awam yang hendak meletakkan barangan kitar semula atau guna semula .
Kong berkata terdapat beberapa pusat kitar semula yang dibina oleh majlis bandaraya dan salah satunya di BDC.
“Tujuan utama pusat tersebut dibina adalah untuk orang ramai membuang barangan yang boleh dikitar semula atau boleh guna semula demi melindungi alam sekitar.
“Terdapat sekumpulan pemungut yang akan duduk di hadapan pusat itu dan mengumpul barangan yang boleh dikitar semula atau boleh guna semula daripada orang awam. Barangan yang boleh digunakan dan boleh dijual akan disimpan oleh mereka dan selebihnya akan ditinggalkan di pusat,” jelasnya.
Pada masa ini, Kong berkata pusat kitar semula di BDC diuruskan oleh Persatuan Pencinta Kitar Semula Taman BDC yang mana Wilfred Yap adalah penasihat undang-undang mereka.
Susulan kejadian itu, nyata Persatuan Pencinta Kitar Semula Taman BDC tidak dapat menguruskan pusat kitar semula dengan baik.
“Saya telah bertanya ramai orang di sekeliling yang bersetuju dengan idea kitar semula tetapi semua menyatakan ketidakberanian atas faktor keselamatan.
Justeru, menerusi beberapa insiden yang bukannya sekadar berlaku hari ini tetapi sejak sekian lama namun tidak diendahkan, sudah tiba masanya pihak majlis mengambil alih semula kawalan pusat tersebut daripada Pusat Kitar Semula BDC.
Tambahnya, dengan pengurusan yang lebih teratur dan persekitaran yg selamat, akan meningkatkan keyakinan orang awam untuk terus menyokong program dan aktiviti kitar semula ini.
Oleh Connie Chieng