KUCHING: Serian menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat apabila bacaannya meningkat kepada 206 setakat 12.00 tengah hari ini.
Bacaan berkenaan meningkat 11 mata berbanding 195 yang direkodkan pada 8.00 pagi tadi, sekali gus melepasi paras 200.
Dalam tempoh sama, sebanyak 15 stesen pemantauan lain di seluruh Sarawak mencatat IPU pada tahap tidak sihat, manakala empat lagi berada pada tahap sederhana.
Lundu merekodkan bacaan kedua tertinggi dengan IPU 194, diikuti Tebedu (188), Lubok Antu (186), Kuching (182) dan Samarahan (181).
Sri Aman pula mencatat bacaan 175, Betong (MCAQM) 166, manakala Sarikei, Samalaju dan Kanowit masing-masing merekodkan IPU 161.
Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Sibu dengan bacaan 157, Mukah (155), Bintulu (153), ILP Miri (152) dan Miri (151).
Sementara itu, empat stesen yang masih mencatat tahap sederhana ialah Lawas dengan bacaan 97, Kapit (94), Limbang (79) dan Bario (55).
Berbanding bacaan 8.00 pagi, beberapa kawasan menunjukkan peningkatan termasuk Lundu daripada 177 kepada 194, Lubok Antu daripada 159 kepada 186 serta Tebedu daripada 175 kepada 188.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.
Oleh Norman B





