Anwar mahu MA63 dijadikan naratif nasional

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tujuh, kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tujuh, kiri) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (enam, kanan) merakam gambar kenangan Mesyuarat MA63di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU:  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naratif nasional dan tidak dilihat sebagai isu khusus membabitkan Sabah dan Sarawak semata-mata.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat memahami bahawa komitmen terhadap MA63 merupakan sebahagian daripada dasar nasional Kerajaan MADANI yang berkait rapat dengan pembangunan, kestabilan dan keutuhan Malaysia.

Anwar berkata perkara itu juga perlu difahami serta diterima rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada polisi, komitmen, dan naratif nasional dalam memperkasakan keutuhan negara.

“Saya dah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ia amat penting sebab kalau tidak, dia jadi macam sektoral. Setiap tahun kita kena bincang khas Sabah, Sarawak. Tidak. Ini merupakan komitmen negaratentang pembangunan, tentang kestabilan, tentang apa kita janji kemerdekaan Malaysia.

“Itu harus dimeterai sebagai naratif nasional. Kita kena ajak rakyat Malaysia agar tidak bicara soal kaum dia sahaja atau pun parti dia sahaja atau kelompok dia, tetapi bicara sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara,” kata beliau di sini hari ini.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perdana Menteri berkata rakyat di Semenanjung juga tidak seharusnya melihat sebarang penambahan peruntukan atau pelaksanaan perkara berkaitan MA63 sebagai pertimbangan khas semata-mata kepada Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau menyokong pendekatan supaya MA63 dilihat dalam kerangka nasional bagi menyelaraskan perkara, yang termaktub dalam Perlembagaan dengan usaha memperkukuh keutuhan Malaysia.

“Kita hendak menyelaraskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai a united nation, a united Malaysia (negara yang bersatu, Malaysia yang bersatu) yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu lebih praktikal dalam memastikan kepentingan Persekutuan, Sabah dan Sarawak dapat diseimbangkan, termasuk dalam aspek kewangan dan pembangunan negara. – Bernama