PUSAT Kecemerlangan Akuatik Kompleks Sukan Negara Kuching beroperasi semula untuk latihan atlet dan program kelab selepas dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Penolong Pengurus Kanan Pusat Kecemerlangan Akuatik Kuching, Mohamad Azzwan Niza, 30, berkata, pihaknya membuka semula pusat itu setelah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menyatakan bahawa ia boleh dibuka semula pada 1 Julai.
“Sementara itu, kita juga membuka semula setelah pusat kuarantin tidak beroperasi lagi memandangkan tempat ini dah menjadi zon hijau.
“Oleh itu, kita beroperasi seperti biasa pada 1 Julai ini berdasarkan pada SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan dan juga negeri Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pusat Kecemerlangan Akuatik hanya dibuka kepada latihan atlet dan program di pusat akuatik iaitu belajar untuk berenang
“Untuk orang awam kita tidak membuka dan kita membuka untuk program sebab ia mudah untuk kita uruskan dan pantau,” katanya.
Ujar Azzwan, mereka mengikut dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Contohnya, setakat ini SOP bermula daripada pintu masuk utama, semasa penggunaan sehinggalah pintu keluar.
“Semasa penggunaan itu pengguna iaitu peserta daripada kelab itu sendiri setelah selesai diminta untuk keluar daripada pusat akuatik itu,” jelasnya.
Tambahnya, untuk operasi pun sebenarnya ada jadual dan jadual pun terpaksa diubah sedikit memandangkan untuk mengelakkan daripada terlalu padat dengan pengguna.
Oleh Cheryl Law