Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, lelaki 53 tahun ditahan

Facebook
WhatsApp
PERALATAN muzik antara barangan yang dirampas polis dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Jalan Lapangan Terbang Kuching. Foto Facebook Polis Daerah Kuching

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan selepas sebuah pusat hiburan di kawasan Jalan Lapangan Terbang Kuching dipercayai beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah, malam 4 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, lelaki terbabit ditahan sekitar 10.45 malam dalam tindakan penguatkuasaan yang turut menyaksikan peralatan muzik di premis berkenaan dirampas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah.

LELAKI tempatan berusia 53 tahun ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam pengendalian pusat hiburan tanpa lesen di Kuching. Foto Facebook Polis Daerah Kuching

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau turut menasihatkan semua pengusaha premis hiburan di daerah Kuching supaya mendapatkan lesen hiburan yang sah serta tidak menjalankan aktiviti melebihi waktu operasi yang ditetapkan.