KOTA SAMARAHAN, 23 November: Pengarah Pendidikan Sarawak, Dato Omar Mahli, meluangkan masa menyantuni 502 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan yang memulakan peperiksaan bertulis hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau berkesempatan bertemu dan berinteraksi dengan calon peperiksaan selain menyampaikan kata-kata semangat serta motivasi bagi meningkatkan keyakinan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.

Beliau turut mengingatkan calon supaya kekal tenang, memberikan tumpuan sepenuhnya dan memanfaatkan segala persediaan serta usaha yang telah dilakukan bagi menghadapi setiap kertas peperiksaan.
Menurut Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, seramai 36,144 calon berdaftar untuk menduduki SPM 2026 di seluruh Sarawak, melibatkan 262 pusat peperiksaan.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak turut mendoakan agar semua calon diberikan ketenangan, kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang peperiksaan berlangsung.
Calon diingatkan supaya terus berusaha, berdoa dan bertawakal serta memberikan yang terbaik demi masa depan yang cemerlang.






