
BALINGIAN: Penduduk Selangau yang menghidap penyakit buah pinggang bakal menikmati kemudahan rawatan lebih dekat apabila Pusat Dialisis Buah Pinggang di Klinik Kesihatan Selangau dijangka mula beroperasi pada Jun 2025.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata pembukaan pusat dialisis itu bakal memberi manfaat besar kepada pesakit yang selama ini terpaksa berulang-alik ke Sibu atau Mukah bagi mendapatkan rawatan.
Langkah ini menurutnya bukan sahaja mengurangkan kos perjalanan, tetapi juga membantu pesakit mendapatkan rawatan lebih mudah dan selesa.
“Saya amat menghargai keprihatinan Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni yang memberi perhatian serius terhadap isu ini selepas saya bangkitkan dalam lawatan ke Klinik Kesihatan Selangau pada Januari 2024,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran Rumah Nyawai Anak Radin di Sungai Duan, Jalan Bukut-Ladang Empat, Balingian hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek bernilai RM16,000 bagi membantu mangsa kebakaran.
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Rumah Petrous Ambun, Lubok Bukut untuk bertemu pemimpin masyarakat dan berbincang mengenai isu-isu semasa serta keperluan penduduk di empat rumah panjang di kawasan itu. – UKAS