
Di Tengah-tengah Detik
(untuk sang pemilih)
setiap debar akan bertemu penamat dan tiap sabar akan menumbuhkan nikmat. aku mahu lebih daripada segelas air. adakah cukup telaga dan sumur, sungai dan laut, melunas dahaga?
bagai tak ada jalan hujung. segala sudut bagai mengepung. mengapa kita rasa bersalah ketika membuat keputusan yang betul. dan mengapa kembara yang jauh harus bermula sekarang?
ini belum titik henti. belum. pelita padam. angin mereda dan pepohon ditelan malam. aku berjalan terus setelah terjaga. mengumpul kekuatan dari urat-urat silam yang kian pudar. ingatan adalah mimpi yang belum selesai. esok dan lusa di sebalik kelopak rahsia.
‘kau harus belajar menjadi terang, mengkaji bahasa tangisan dan mengupas huruf derita.’
dalam satu detik di tengah-tengah bahang yang mengepung, aku telah bercakap kepada Tuhan.
Abdullah Hussaini
Checkmate!
Di atas meja rotan mumuk
terbentang petak bersela warna
hitam dan putih tempatku melangkah
hitam dan putih dua kuasa beradu fikrah
langkah dibuka bersahaja
tanpa strategi tanpa waspada
buah tersusun mula binasa
lawan tersenyum mendabik dada
termangu seketika
tiada lagi ruang beralih
kiri dan kanan terjerat kini
Checkmate!
detik pun terhenti
Sapinah Abd. Nasir
Retak yang Menghidupkan Kita
Kita utuh dahulunya,
Mendiami hening tanpa getar
Sekarang diselubungi
Gurat-gurat keretakan.
Tatkala retak hadir
Dalam prahara kata-kata
Yang tersalah tafsir
Dalam bungkam yang kita biarkan
Terlalu lama.
Tentang jarak
Sudah terbiasa dengan ranjau jarak
Yang jauh dari saujana pandangan
Menyukarkan penyembuhan sebuah retak.
Dan sejak itu
Mulai belajar tentang sakit
Tentang hati yang berdarah dalam diam
Luka yang tak berparut pada kulit.
Namun anehnya
Retak yang dirasai bersama
Mampu kita fahami
Erti sebuah kesetiaan perjuangan.
Cinta yang tidak harus selalu indah
Menyedarkan kita untuk lebih akrab dengan kerapuhan
Lebih saling memegang erat
Untuk memugar semula harapan.
Barangkali,
Tanpa retak itu kita hanya jasad tanpa nyawa
Sehingga kita tidak pernah tahu
Bahawa berharganya sebuah “kita”.
Dan di situlah
Luka yang mengajar tentang kehilangan
Telah menyedarkan bahawa
Dalam setiap retak
Ada celah cahaya
Untuk kita kembali bernyawa.
Conielya Vieda Anak Lawrence