
PAGI itu, dia sudah tidak mampu lagi menahan kesunyian yang kian menebal di dalam segenap hatinya. Selepas bangun dari katil yang masih menyimpan bayang-bayang mimpi malam yang melenakan, dia terus menuju ke sofa di penjuru kamar, setia menantinya untuk mengadu nasibnya pada permulaan mentari.
Di situ, dia merenung lantai dengan penuh kehampaan, berharap seandainya lantai itu pun mampu memantulkan seribu jawapan nan pasti. Tiba-tiba, bayangan bagasinya di dalam almari terlintas di fikiran. Belum juga dibawa keluar untuk menyaksikan dunia yang sedang mengalami transisi setiap hari.
Sudah setahun terkurung sebegitu rupa. Puas menjalani kehidupan yang sadis. Tuannya pun mulai berikhtiar untuk meloloskan bagasi itu ke destinasi yang belum pernah dijelajah.
Agaknya, bagasi itu pun sudah bosan terperap di dalam rumah katanya. Terkurung dalam kesunyian yang menyelimuti tuannya, seolah-olah mereka berdua terperangkap dalam nasib yang sama. Dengan perlahan-lahan, dia membuka langkah menuju ke almari yang sedang berpadu dengan dinding berona hijau itu, berazam untuk membukanya dan memikirkan apa yang patut.
Dia pun menjenguk sebentar ke setiap barisan di almari itu yang masih kukuh. Agak sarat dengan pakaian dan koleksi beg. Terlihat jelas, bagasi itu satu-satunya yang tersisih di pinggir almari, seolah-olah hidupnya yang berjenama luar negara itu tak seberapa jika dibandingkan dengan beg berjenama tempatan yang sarat dan sentiasa berkhidmat untuk tuannya.
Perbezaan status itulah penyebab ia menerbitkan rasa sangat tersisih, walhal tujuannya sama iaitu untuk menempa jalan hidup masing-masing. Bukan hidup dengan gundah gulana.
Wajah tuannya tersirat kesedihan. Tiada aksara yang mampu meredakan hiba di hati. Barangkali ini khilafnya sendiri kerana terlalu gemar membawa bagasi jenama tempatan ke mana-mana tanpa memikirkan sensitiviti bagasi mahal yang jarang sekali dibawa keluar. Dia terlalu khuatir seandainya bagasi mahal hilang, dicuri atau rosak.
Maka, bagasi itu sekadar menjadi perhiasan di dalam almari, terkurung tanpa pernah mengenal dunia luar yang sentiasa mengalami transformasi. Isinya bukan pakaian mewah, bukan barang perjalanan tetapi sekadar beberapa barangan peribadi mendiang isterinya.
Sisa kenangan yang masih berbekas dalam memori. Melihat bagasi itu persis melihat wajah lembut dan manis mendiang isterinya. Apabila dirinya dilamun stres dengan hal duniawi, dia cepat-cepat melangkah untuk menyentuh bagasi tersebut.
Mungkin nanti rona tubuhnya akan pudar, hilang kilauannya, tidak lagi ditembus cahaya abadi yang memberi sinar ceria. Wajarlah seandainya ia sering memprotes dalam diam. Ada kalanya, ia ingin melepaskan tantrumnya ke arah pintu almari semata-mata ingin meluaskan pemandangan dan dengan keajaiban bisa keluar dari tempat gelap yang menyerupai penjara itu.
Walau sekadar peluang tipis pun jadilah. Ia ingin sesekali menghidu aroma dari udara luar yang menjadikan tuannya sudah jarang ingin membawanya bersiar-siar seperti dulu. Apa agaknya yang ada di dunia luar itu? Namun, segala usaha hanya berakhir dengan kegagalan. Seolah-olah tuannya sama sekali tidak peduli akan kewujudannya kini, apatah lagi kebajikannya. Ia selalu menangis dalam diam dan tidak mahu isi hatinya itu begitu ketara di mata bagasi-bagasi lain.
Dalam keheningan yang membosankan, ia begitu gelisah tanpa tara, meronta-ronta ingin bebas daripada belenggu kegelapan dan kesempitan barisan almari dan bagasi lain yang tak sekufu dengannya. Bagasi murah.
Ia mendambakan kebebasan, bercita-cita untuk diperagakan kepada pelbagai lapisan manusia akan kredibilitinya sebagai bagasi pemilik golongan elit. Saat pemiliknya bertukar tangan di gedung perniagaan golongan kapitalis, dia dan rakan-rakan sekufunya terpilih oleh tuan baharu.
Bersiap siaga berkhidmat sehingga ke penghujung ayat. Besarlah harapan sekiranya kebanyakannya daripada golongan berpendapatan tinggi. Maka nanti terjaminlah hak-hak mereka. Sentiasa dilindungi. Kebal dari serba kekurangan bahkan kemiskinan sekalipun.
Kegembiraan jelas tergambar melalui putaran rodanya yang ligat, menandakan permulaan kehidupan yang lebih bermakna. Namun, dalam dunia mereka, jenama mengatasi segala-galanya. Mereka yang sekufu hanya bergaul sesama sendiri, enggan bergaul dengan yang lebih murah.
Jijik bagi mereka. Yang murah layak dihina kerana tidak diperbuat daripada bahan yang berkualiti tinggi. Menurunkan ego untuk bergaul dengan yang tidak sekufu sungguhlah mustahil. Perbuatan sebegitu hanyalah akan menjurus kepada sesuatu yang tidak dapat diterima akal mereka iaitu penurunan status. Dan itu, bagi mereka merupakan salah satu simbol akan terjadinya kehancuran kepada seluruh keturunan mereka. Sudah pasti air mukalah perkara asas dilihat nanti.
“Jangan bikin malu keturunan.” Kata-kata itu bukanlah sekadar pesan tetapi doktrin yang tertanam kukuh dalam jiwa setiap bagasi mahal. Melahirkan pegangan asas dalam kehidupan sebelum pemilikan dilakukan untuk menyuburkan keangkuhan dalam diri mereka. Status adalah segala-galanya. Tiada yang lebih hina daripada bercampur dengan golongan yang tidak sekufu.
Jika terpaksa berjalan seiringan dengan bagasi murah, mereka tetap yakin bahawa merekalah yang terbaik. Bagasi murah itu tidak lebih daripada parasit. Terhegeh-hegeh ingin menumpang kebanggaan yang bukan milik mereka.
Sekadar ekor yang sentiasa di belakang, tidak pernah mendahului. Hanya pelengkap, sekadar bayangan yang tidak dipedulikan. Pokoknya, bagasi murah bukanlah rakan, apatah lagi pasangan ideal di lensa mata mereka.
Dalam lensa kehidupan bagasi mahal, yang murah hanyalah sekadar beban yang bukan-bukan. Tidak setara, tidak sepadan dan tidak layak pun berdiri di sisi mereka. Merekalah partikel-partikel toksik yang mencemarkan kualiti kehidupan bagasi.
Pada petang itu juga, tuannya berhasrat ingin membawanya berhijrah ke satu tempat yang menjadi tumpuan ramai selama seminggu. Alangkah girangnya di hatinya kerana rintihannya selama ini didengari juga pada akhirnya.
Ingatkan tuannya sudah alpa akan dirinya. Ruang rajuk di hati segera ditutup rapat. Setelah mengetahui dirinya akan dibebaskan, dia pun berpaling segera ke belakang melihat mereka yang lain buat terakhir kali. Tiada rasa sedih yang bersarang di hati. Apatah lagi air mata yang bercucuran. Keangkuhan. Sombong.
Mengundang pelbagai reaksi yang ditunjukkan melalui mimik muka yang hanya dapat dilihat oleh sesama bagasi. Tidak mahu berlengah lagi. Ia pun mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua dan tidak melepaskan peluang untuk berbicara sebentar untuk terakhir kalinya dengan mereka. Sebagai tanda apresiasi menurut versi dirinya. Selalunya dia akan bercuti bersama tuannya ke luar negara selama berminggu-minggu bahkan berbulan-bulan, dia dengan segala kemegahannya pun menjelaskan satu per satu.
“Sudah kukatakan berkali-kali, kalian semua bukan utusan dari alam semesta untuk memewahkan tuan. Kalian semua langsung tidak percaya. Egois! Kemewahan tidak dicapai sekiranya hanya melakukan perkara biasa sahaja pada setiap masa.
Sebaliknya, kemewahan dapat dicapai bersama keajaiban. Hanya bagasi tertentu yang terpilih sahaja boleh merasai semua itu. Akulah contoh terbaik untuk kalian puja-puja. Kalian semua tidak berhak untuk meraih segala keistimewaan itu.
Kapasiti kalian hanya dapat melihat bagasi sepertiku mengecapi dengan mudah. Tanpa perlu bersusah payah seperti kalian yang tiada nilai estetika di mata tuan hahaha…” Mengundang rasa tak puas antara bagasi murah. Panjang berjela tutur bicaranya walaupun tiada yang sudi bertanya.
Namun, apakan daya mereka? Mungkin ada benarnya juga. Mereka memilih berdiam diri tapi raut wajah mengatakan segala-gala yang terbuku di dalam hati yang sedang membara bahang amarahnya. Tanpa menghiraukan kata-kata tadi menyinggung perasaan mereka, maka dia cepat-cepat beredar dari situ dengan kegelinciran roda pada permukaan lantai yang licin. Roda-rodanya menyusur laju sama seperti detak jantungnya. Peningkatan andrenalinnya sungguh dahsyat. Boleh pitam dibuatnya. Pitam keterujaan dan kegirangan.
Tuannya yang mundar-mandir dari tadi cuba mencari barang-barang keperluan untuk dibawa bersama. Dari setiap penjuru bilik di rumah agam tersebut. Belum lagi bernegosiasi dengannya secara terperinci mengenai lokasi dan tujuan penghijrahan.
Tuannya kelihatan berserabut dengan kertas yang mengandungi contengan yang boleh ditafsirkan sangat signifikan dan mempunyai nilai estitka. Mata tuannya asyik membaca senarai tersebut berkali-kali. Mulutnya terkumat kamit.
Kertas tersebut pun semakin renyuk. Kejap dipegang di tangan. Kejap diletakkan di atas meja. Ia pun sekadar berdiri di bucu meja itu sambil melihat gelagat tuannya yang berumur separuh abad itu menyesuaikan diri dengan keadaan yang genting. Betul-betul kritikal barangkali.
Panggilan telefon yang berdering lebih lima kali tanpa balasan itu menjadikan suasana pada ketika itu sebagai pejabat korporat tuannya yang berada di tengah Kota Metropolitan. Ia menantikan tuannya memberikan arahan kepada dirinya sahaja pada ketika itu. Aneh, tuannya itu tidak berbicara apa-apa sebelum itu. Semuanya mengejut.
Mungkin inilah kejutan yang sebenar-benarnya buat dirinya. Ia terus menanti dan menanti. Seisi rumah sudah tiada seri. Tiada lagi sebarang bingkai gambar mendiang isterinya bergantungan di dinding atau apa sahaja berkaitan. Seakan-akan rumah tersebut akan mengalami kekosongan buat jangka masa sementara. Mungkin ada agenda lain di luar pengetahuan dirinya. Mungkin.
Lebih kurang setengah jam, tuannya terus mengheretnya masuk ke dalam bonet kereta dengan kasar sekali. Tak pernah dia dilayan sebegitu rupa. Aduh! Ingin sahaja dia menjerit kesakitan. Sesampainya di belakang bonet, dia dihempas pula tanpa belas kasihan sehingga kandungannya berbunyi macam-macam. Berdenting ada. Ketukan ada.
Aduh! Bertambah sakit badannya. Sumpah! Tidak pernah dia diperlakukan sedemikian rupa. Keanehan tuannya tidak lagi dapat disorok. Buruk betul Iayanannya. Ralit memerhatikan sikap tuannya itu. Sangat berbeza berbanding setahun lepas.
Mungkin faktor umur dan juga desakan kerja yang berlambak memerlukan perhatian yang serius. Ia berhusnuzon sebentar. Apa nak jadi pun jadilah. Yang penting, dia dapat berhijrah dan keluar dari rumah itu dengan penuh bermaruah.
“Pada mulanya saya ingin menyerahkannya kepada ahli keluarga mendiang isteri saya. Namun, apabila difikirkan masak-semasaknya, saya telah berubah fikiran. Saya menukarkan keputusan dengan muktamadnya. Dipengaruhi oleh faktor luaran yang tak dapat saya tolak seperti sebelum ini. Jadi, di sini sahajalah tempat terakhir bagasi ini menikmati sisa-sisa terakhirnya…”
Menolak untuk diberikan wang yang nilainya sekadar nisbah 1:8 sahaja sebagai tukaran. Staf di situ pun berbesar hati menerima bagasi mahal yang berisi penuh itu tanpa bertanya dengan lebih lanjut lagi. Cukuplah sekadar dia menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya sahaja. Kedua-duanya saling membalas senyuman.
Hal peribadi para penyumbang sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Pengasingan barang-barang dari dalam bagasi itu dilakukan serta merta memandangkan tiadanya pertukaran kewangan dan kena melayan permintaan istimewa dari tuan empunya badan juga.
Bagasi mahal itu sangat terkejut apabila mendengar segala pendedahan yang tak seharusnya didengar ketika suasana hati sedang meniti sukacita. Ia merasa sangat takut. Kesal. Kecewa dengan sikap tuannya yang berubah secara drastik itu. Dia ingin lari dari dalam bonet tersebut menuju ke rumah famili mendiang isteri tuannya itu. Cuma mampu berlari dalam fikirannya sahaja.
“Helo, sayang. Abang dah lakukan apa yang sayang inginkan. Kita baik-baik sahaja sekarang, bukan? Perkahwinan kita minggu depan, abang tak nak bakal isteri abang tak gembira kerana hal-hal remeh seperti ini yang cuba-cuba untuk mengganggu emosi sayang. Lagipun bagasi dan seisi kandungannya sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.
Menyemak sahaja disimpan di dalam almari. Bukannya dapat mengembalikan jasad yang telah pergi. Lebih baiklah saya beramal jariah ke sini. Ada juga manfaatnya kepada orang lain. Lambat-laun saya kena cari kebahagiaan sendiri juga. Jadi, saya pilih masa setahun ini untuk mengenali hati budi sayang dengan lebih mendalam. Jangan kusutkan fikiran abang berkali-kali, ya sayang?
Abang cinta akan sayang sepenuh hati. Mulai sekarang tiada lagi asbab kita menjalani perhubungan jarak jauh seperti ketika abang masih bersama dengan mendiang isteri abang dulu. Ingat itu…” Matanya tertumpu pada sebuah bagasi mahal itu lalu diseret dengan lagaknya yang kasar bagai seorang lelaki telah kempunan kasih sayang sejati. Buat terakhir kalinya dia merenung tajam ke arah bagasi tersebut sebelum meninggalkannya sejauh mungkin sehingga kabur dari pandangan mata.
Panggilan telefon diakhiri dengan ucapan tahniah daripada bakal isteri kerana telah membuat keputusan yang bijaksana. Tanpa perlu mencipta drama yang baru lagi setiap hari seperti rutin hariannya. Itulah kali pertama ia mendengar penjelasan yang cukup serius melalui panggilan telefon yang panjang berjela.
Seolah-olah akan terputus hubungan selepas ini. Semasa mendiang isterinya masih ada menyantuni seisi dunia, dia langsung tak pernah memaparkan sikap sedemikian. Kadangkala sepatah-sepatah sahaja dijawabnya. Selebihnya mendiang isterinya yang panjang celotehnya. Mereka kelihatan seperti pasangan yang cukup bahagia.
Deruan enjin kereta sedan yang baru diproduksi dari kilang yang beribu pejabat di luar negara itu meninggalkan jejak di Pusat Kitar Semula sekitar jam 4:30 petang. Pemandunya tersenyum lebar setelah membuang segala bebanan tinggi menggunung yang telah menjadi penghuni rumah agamnya selama beberapa tahun ini.
Lagu rancak dalam senarai lagu pilihan bakal isterinya itu pun segera dipasang dengan kuatnya pada sebuah pemain Android. Gincu, klip rambut, anting-anting, minyak wangi dan gambar passport. Semua barangan tersebut milik seorang wanita yang dikenalinya melalui satu aplikasi mencari jodoh mengisi ruangan di dalam keretanya.
Perhubungan istimewa tersebut telah terjalin ketika mendiang isterinya terlantar di hospital kerana penyakit kronik. Dia memberikan pelbagai alasan agar tidak menemani mendiang isterinya. Dia telah menipu mengatakan bahawa dia terlibat secara langsung dalam satu urusan rasmi bersama ahli korporat dari luar negara.
Sebaliknya, dia menginap dengan seorang wanita yang baru dikenalinya itu di sebuah hotel bertaraf lima bintang selama seminggu. Guruh yang tiba-tiba berdentum di langit suram mulai menangiskan benih-benih hujan. Meranapkan struktur bumi dengan kejadian air bah selama berhari-hari.
Bagasi seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dilihatnya. Mati kutu. Berharap ada keajaiban berlaku. Namun, semuanya telah terlambat. Dia sudah pun terhumban bersama ratusan dokumen yang selama ini dianggap keramat dan menjadi periuk nasi tuannya. Ternyata selama ini dokumen tersebut boleh menjatuhkan sebuah pemerintahan pada ketika ini.
Oleh Marilyn Albert Matu