Puisi

Facebook
WhatsApp

Musim

Di tengah petak sawah

kuraup bongkah El Nino yang merekah

garis tanganku dipenuhi debu.

Dari laut

awan tengkujuh mula merendahkan petang

kutatang sisa benih

ke para paling tinggi.

Pada tiang rumah

parut air tahun lalu

masih setinggi bahu anakku.

Di kaki tangga

tempayan menadah langit kering.

Nun di hujung halaman

kolek,

sudah tertambat.

Ibnu Hasan

Tanjung Manis





Sekumpulan Tuhan di Atas Jalan

Dalam terang gelap cahaya

hempasan rasa menjerat dilema

setiap kepulan sengsara jiwa

bergumpal tebal mampat melekat

kegusaran kian menjadi santapan

tiada seketika lara kembang berbunga.

Sesekali meronta dalam sunyi terkunci

terkulai rebah dipanah busur fitnah

darah tidak kelihatan merah

cuma pedihnya memenggal kecewa

bergelumang di atas jalan

tiada suluh cahaya bintang malap bergema.

Sepanjang meniti jalan lurus berliku

bisikan bertalu memintal tuju

sepanjang meredah jalan penuh debu palsu

dakapan hangat menyelimuti penat

berdiri tanpa kaki memapah gugusan emosi

sekumpulan Tuhan di atas jalan

melambai senyum menebar harapan

merenjis embun-embun luka

menegak percaya menyimpul segala perkara

menarik hempas ketika aku kosong

mengusap tenat saat aku tersadung

mengajak aku percaya

pada sebuah kehidupan yang sama.

Ben Galayan,

10 Ogos 2026

Hospital Sarikei, Sarawak.




Sudahkah Dinding Rumah Kita Terhibur?

Dinding rumah mencerna memori

sebuah keluarga di dalam perutnya

dinding sering terhibur melihat

cekalnya ibu menjaga anaknya

penatnya bapa mencari rezeki

cepatnya bayi menjadi dewasa

semuanya dimakan usia

hingga usia pun kenyang

berehat pulang menuju tuhan

kematian pun mengetuk pintu

membawa kesunyian sebagai hadiah

lalu tumbuh lumut kerinduan

meratapi pemergian sebuah keluarga

yang pernah membahagiakan perutnya.

Abu Adil

Kedai yang Menjual Impian

SELURUH raga Mika bergetar apabila dia sedar memorinya lenyap dengan perlahan-lahan. Helaian demi helaian ingatannya menjadi kabur. Dua bulan sebelum

Kata Ditulis, Jiwa Dieja

GUMPALAN kata yang ditulis dalam sesebuah sajak merupakan bingkisan suara hati insan yang lirih. Seolah-olah ada resah yang mahu keluar