UNTUKMU… Dr Malvern Abdullah bersama Buda Anchah menyarungkan pingat yang diraih kepada isteri dalam acara Bina Badan pada Sukan SEA yang berlangsung di Hanoi Vietnam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam. •Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Dua badang Sarawak selamat tiba menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang pukul 3.25 petang, semalam.
Buda Anchah dan Dr Malvern Abdullah, jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak kelihatan bersyukur dan berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa yang diperoleh mereka dalam Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.
Kepulangan mereka disambut Ketua Bahagian Pengurusan Korporat Perbadanan Sukan Sarawak, Yenyen Wong serta Pegawai Pembangunan Sukan Bina Badan Perbadanan Sukan Sarawak, Villaivan Jee.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Buda berkata beliau cukup gembira terutama apabila mendapat pingat perak dalam acara 70 kilogram (kg).
“Saya berpuas hati dengan pingat perak walaupun pada mulanya optimis untuk dapat pingat emas. Pesaing lebih hebat daripada saya,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah banyak membantunya melakukan persiapan terutama Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Sukan Sarawak.
“Ini merupakan kali ketiga saya menyertai Sukan SEA. Untuk tahun berikutnya, saya akan cuba mendapatkan pingat emas untuk Malaysia dan Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Dr Malvern,beliau berpuas hati berada di tangga ketiga (pingat gangsa) memandangkan pesaingnya hebat-hebat belaka.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan juga pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sentiasa menyokong minat saya dalam sukan bina badan,” ujarnya yang juga membawa pulang pingat gangsa bagi kategori ‘mixed pair.’
Dalam kategori lelaki 65kg, atlet berpengalaman yang juga pensyarah kanan UiTM Cawangan Sarawak, Dr. Malvern Abdullah memenangi pingat gangsa dalam saingan bina badan.
Kedua-dua atlet veteran kebanggaan Bumi Kenyalang ini bakal menyertai Mr Asia yang akan diadakan di Maldive (Julai) dan Kejohanan Bina Badan Dunia (Mr World) yang diadakan di Medan, Indonesia (November) depan.